
ZIARAH PONDOK TARBIAH JIWA (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
28 April, 2025
Masalah dokumentasi yang tidak lengkap menyebabkan perjalanan delegasi misi dakwah dan kebajikan Muslim Care Malaysia (MCM) memasuki daerah Bokepyin di selatan Myanmar pada 21 April 2025 sedikit tergendala .
Akur dengan birokrasi tempatan, kami singgah di Madrasatul Tarbiyah Addiniyah Al-Islamiyah, Kg Tanjung Badak.
Ketibaan MCM yang diketuai Timbalan Presiden MCM, Tuan Johari Ismail disambut mesra oleh Baba Muhammad Nur Abdul Mutalib, insan tawadhu’ yang menyambung warisan ilmu dengan penuh sabar.
Keadaan pondok itu kebanyakannya berasaskan struktur kayu, beratapkan daun nipah dan jauh dari kemewahan dunia, tetapi terasa sangat tenang dan damai.
Pondok ini membisikkan hikmah…
Bahawa ilmu bukan pada bangunan, tapi pada keberkatan.
Terdiam kami apabila mendapat tahu, mereka tidak boleh membuat sebarang video kutipan dana disebabkan sekatan dari pihak kerajaan. Hajatnya kami mahu membuat rakaman bagi membantu pengurusan pondok namun dihalang bagi mengelak sebarang konflik dengan pihak kerajaan.
Walaupun tanpa kempen dan seruan derma, namun dengan izin Allah pondok ini masih hidup. Masih bertahan.
Subhanallah!
Benarlah sepertimana janji Allah dalam Al-Quran yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."
(Surah Muhammad : 7)
Muslim Care Malaysia menghulurkan sumbangan seadanya dan pulang dari pondok itu dengan hati yang sarat pelajaran.
Tentang istiqamah. Tentang tawakkal.
Doakan pondok ini terus hidup menyuluh cahaya kepada yang mencari.
Dalam sunyi… ia tetap menyala.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia.
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan.
Tepat Pada Waktunya.
Tepat Pada Sasaran.