ZIARAH KE BOKPYIN IBARAT BALIK KAMPUNG (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
25 October, 2024

Selepas bersalam, setiap seorang peserta misi dipeluk erat seperti adik beradik yang bertemu semula selepas puluhan tahun terpisah, sedangkan itulah pertama kali masing-masing berjumpa.

Begitulah suasana ketika penduduk Melayu di Bokpyin selatan Myanmar menyambut ketibaan 15 peserta Misi Kebajikan dan Dakwah Muslim Care Malaysia (MCM) pada 16 Oktober 2024.

“Mereka peluk kami begitu erat membuatkan kami rasa terharu. Nyata jarak dan lokasi yang jauh tidak sama sekali memisahkan hubungan kita orang Melayu Islam,” kata peserta misi, Ustaz Muaz Hassan yang juga Exco MCM.

Penduduk tempatan, Ustaz Sharkawi Abd Aziz pula berkata dia sama sekali tak sangka ada pihak luar yang prihatin dan sudi berkunjung ke Bokpyin dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang serba kekurangan.

“Terima kasih banyak-banyak MCM sebab sudi datang dan membantu kami,” katanya yang juga mudir Madrasah Tadrib Albanin Walbanat,

Ketika mengadakan kenduri rakyat yang dihadiri kira-kira 300 orang di madrasah itu Timbalan Presiden MCM Haji Mohd Johari Ismail, selaku ketua misi mengumumkan MCM akan membiayai kos pembinaan satu kolah air berharga RM4,000 untuk kemudahan jemaah surau berwuduk.

Pada masa ini pelajar dan penduduk kampung yang solat di surah madarsah itu berwuduk dengan menggunakan air perigi yang agak daif.

“InsyaAllah kami akan datang lagi pada Aidiladha tahun depan untuk menaja dua ekor lembu korban di setiap 35 kampung di Bokpyin dan sekitarnya,” katanya.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia