WANG TUNAI DAN PEK MAKANAN UNTUK MANGSA RIBUT SIJANGKANG

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 November, 2025

Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas akibat ribut kuat yang melanda Kampung Sijangkang bulan lalu, Muslim Care Malaysia Society (MCM) turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan pada 24 Oktober 2025.

Program bantuan ini diketuai oleh Timbalan Presiden MCM, Tuan Haji Johari bin Ismail dan Exco MCM, Tuan Haji Arman bin Mustafa.

Sebanyak 10 buah rumah dikenal pasti mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang disifatkan seperti puting beliung itu. Setiap keluarga menerima barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan lain-lain, selain sumbangan tunai sebanyak RM500 bagi membantu meringankan beban mereka.

“Bantuan ini adalah tanda keprihatinan masyarakat terhadap saudara-saudara kita yang diuji. MCM akan terus komited berada di lapangan, menyantuni mangsa bencana tanpa mengira tempat dan masa,” ujar Tuan Haji Johari Ismail.

Terdahulu, pada 15 Oktober 2025, ribut kuat menyerupai puting beliung telah melanda Kampung Sijangkang dan kawasan sekitarnya, mengakibatkan lebih 40 buah rumah serta beberapa sekolah mengalami kerosakan bumbung dan struktur bangunan.

Program bantuan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada keluarga yang terkesan, tetapi juga menyemarakkan semangat kebersamaan antara masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menghadapi bencana alam yang tidak diduga.

“Prihatin Tanpa Sempadan” Muslim Care Malaysia terus melangkah membantu yang memerlukan.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia