VAN BARU, REZEKI HARI ASYURA ANAK TAHFIZ
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
8 July, 2025
Tanggal 6 Julai 2025 atau 10 Muharam 1447 bersamaan ‘Hari Asyura’ menjadi tarikh bermakna kepada Muslim Care Malaysia (MCM) dan Madrasah Tahfiz Firdausi Al Warisi di Tapah, Perak yang menjadi medan ilmu kepada 42 pelajar.
Ini kerana pada tarikh itulah berlangsung penyerahan sumbangan MCM sebanyak RM70,000 melalui infak orang ramai untuk membolehkan Madrasah Tahfiz Al Warisi memiliki sebuah van yang selesa bagi kegunaan pelajar.
Majlis ringkas penyerahan disempurnakan Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan yang menyerahkan replika cek sumbangan kepada Pengurus Operasi, Puan Mas Seri Dewi yang mewakili Pengasas madrasah, Ustaz Mazri Firdaus Mohd Ariffin.
Hadir sama, Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail dan Bendahari MCM, Ustaz Ahmad Shukri Ismail.
Haji Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada penyumbang kerana sentiasa memberi sokongan kepada usaha MCM untuk membantu orang ramai di dalam dan luar negara.
“Semoga sumbangan anda semua mendapat balasan terbaik daripada Allah SWT. Selagi anak-anak tahfiz di madrasah ini menggunakan van untuk pelbagai aktiviti pengajian mereka, selagi itulah anda semua akan mendapat pahala, insyaAllah,” katanya.
Puan Mas Seri Dewi turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan amat bersyukur kerana kini pelajar madrasah itu lebih mudah untuk pergi solat Jumaat, memenuhi undangan majlis tahlil dan sebagainya.
Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi yang diasaskan 11 tahun lalu menyediakan pengajian percuma untuk pelajar yang terdiri daripada anak yatim, asnaf, mualaf dan Orang Asli.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia.
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan.
Tepat Pada Waktunya.
Tepat Pada Sasaran.