UTC TAWAR MCM JADI PELOPOR PENGAJIAN PENGURUSAN KERJA SOSIAL

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
10 September, 2026

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) TalentCraft atau UTC mempelawa Muslim Care Malaysia (MCM) menjadi rakan strategik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelopor untuk mengikuti pengajian Pengurusan Kerja Sosial di institusi itu.

Perkara itu dinyatakan Penyelaras UTC, Leftenan Kolonel Rozaimi Kamarudin ketika memberi sesi taklimat mengenai pengajian Pengurusan Kerja Sosial kepada rombongan MCM di kampus USIM di Nilai, Negeri Sembilan pada 7 September 2026.

Beliau berkata, bidang pengajian itu penting kerana Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial 2026 (RUU PKS 2026) yang diluluskan Parlimen pada Julai lalu bakal mewajibkan semua pekerja sosial termasuk petugas NGO berdaftar dengan Lembaga Profesion Kerja Sosial.

“Untuk pendaftaran diluluskan pekerja sosial wajib memiliki kelayakan akademik Pengurusan Kerja Sosial sekurang-kurangnya peringkat sijil, sama ada tahap satu hingga paling tinggi, tahap lima yang setaraf diploma lanjutan,” kata Rozaimi.

Menurutnya, selepas RUU PKS 2026 diluluskan, kerajaan memberi tempoh dua tahun untuk semua pekerja sosial melengkapkan diri dengan mengikuti pengajian Pengurusan Kerja Sosial, sebagaimana diwajibkan.

Sesi taklimat itu turut dihadiri Pendaftar USIM, Datuk Muhammad Haizuan Rozali.

Sementara itu Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail yang mengetuai rombongan MCM menyifatkan tawaran daripada UTC itu amat menarik untuk dipertimbangkan pihaknya.

“Kami akan membincangkan dengan serius tawaran ini sebelum memberi maklum balas segera kepada UTC,” katanya.

Hadir sama dalam rombongan MCM membabitkan lima orang ialah Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar, Bendahari Agung MCM, Ustaz Ahmad Shukri Ismail dan Ahli Lembaga Pengarah MCM, Tuan Asri Tuan Hussein.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia