UMPSA SERAH RM10,000 UNTUK BANTU PALESTIN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
29 June, 2026
Muslim Care Malaysia Society (MCM) telah menerima kunjungan daripada Persatuan Kebajikan & Kesejahteraan Staf Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdulah (UMPSA) pada Rabu, 24 Jun 2026.
Dalam kunjungan tersebut, Persatuan Kebajikan & Kesejahteraan Staf UMPSA (SEJAHTERA) turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Dana Palestin MCM sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus diuji dengan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
Penyerahan mock cheque telah disempurnakan oleh Presiden SEJAHTERA UMPSA, Abdul Rahman bin Haji Safie kepada Haji Zulkifli Wahijan, Presiden Muslim Care Malaysia Society.
Majlis ini turut dihadiri oleh wakil Ahli Lembaga Pengarah MCM serta wakil SEJAHTERA UMPSA. Dalam pertemuan tersebut, pihak MCM turut membentangkan perkembangan dan perjalanan misi-misi kemanusiaan MCM ke Palestin, termasuk usaha bantuan yang telah dan sedang dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat Gaza.
MCM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Kebajikan & Kesejahteraan Staf UMPSA (SEJAHTERA) atas kepercayaan, sokongan dan sumbangan yang diberikan. Semoga kerjasama mahabbah ini menjadi asbab kebaikan yang berpanjangan serta membuka lebih banyak ruang sinergi dalam usaha membantu ummah yang memerlukan.