“UJIAN INI LEBIH PARAH BERBANDING TSUNAMI"
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
15 December, 2025
Mereka pernah beberapa kali mengalami gempa bumi, dibadai tsunami pada 2004 dan kini ditenggelam banjir lumpur luar biasa hingga meragut lebih 1,000 nyawa.
Semua ujian Allah SWT itu mereka terima dengan tabah dan sabar, namun pada masa yang sama mengakui ia amat sukar untuk diharungi.
“Berbanding bencana tsunami kami sepakat banjir lumpur kali ini lebih parah dan sukar diharungi.”
Itu rumusan puluhan mangsa banjir lumpur di Kampung Leung Bimbar di Pidie Jaya, Aceh yang ditermui ketika
menerima bantuan pek makanan, kit ibadah dan wang tunai daripada Muslim Care Malaysia (MCM) dan Ops Ihsan pada 10 Disember 2025.
Kata mereka, bencana kali ini dirumuskan lebih teruk berbanding tsunami kerana ia meninggalkan lumpur tebal dan air bertakung untuk tempoh yang lama.
Lebih menambah derita, penduduk Leung Bimbar sudah terputus bekalan elektrik dan air bersih selama dua minggu iaitu sejak banjir melanda pada 26 November lalu.
“Itu lagi satu sebab mengapa bencana kali ini lebih teruk daripada tsunami. Dulu gangguan bekalan air dan elektrik tidak sampai dua minggu seperti sekarang,” kata penduduk.
Sehubungan itu, bantuan pek makanan mengandungi beras, gula, minyak masak dan biskut, kain pelekat dan telekung serta wang tunai 150,000 Rupiah setiap seorang amat dihargai penduduk.
Bendahari Agung MCM, Ustaz Ahmad Shukri Ismail yang juga ketua misi berkata MCM dan rakan kolaborasi iaitu Ansar Global dan Harmoni Prihatin Malysia memperuntukkan RM76,000 untuk bantuan kepada 625 keluarga membabitkan lebih 3,000 orang.