TUMBANG LIMA EKOR LEMBU UNTUK KENDURI (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
25 October, 2024

Lima ekor lembu bakal tumbang untuk hidangan sekurang-kurangnya 2,000 orang ketika kenduri rakyat di lima lokasi.

Itu antara aktiviti utama sepanjang lapan hari misi dakwah dan kebajikan Muslim Care Malaysia (MCM) di perkampungan Melayu di selatan Myanmar dari 15 hingga 22 Oktober 2024.

Ketua misi, Haji Mohd Johari Ismail yang juga Timbalan Presiden MCM berkata pihaknya memperuntukkan lebih RM65,000 untuk misi yang julung kali diadakan di wilayah berkenaan.

“Kami juga membawa telekung, 300 naskah al-Quran, beg sekolah serta alat tulis untuk diagihkan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Peserta misi seramai 15 orang menempuh perjalanan sejauh lebih 1,000km yang memakan masa kira-kira 12 jam dari Bukit Kayu Hitam, Kedah, untuk tiba di Ranong, bandar di Thailand yang bersempadan dengan Myanmar.

Dari Ranong, peserta misi menaiki bot selama 45 minit untuk ke Kampung Pulau Dua atau Kawthaung dalam bahasa Myanmar dan merasai pengalaman unik apabila pemeriksaan pasport turut dibuat di kaunter imigresen di atas pelantar di tengah laut.

Disebabkan larangan perjalanan jarak jauh selepas jam 6 petang, peserta misi bermalam di Kampung Pulau Dua dan bergerak ke Bokpyin pada jam 6 pagi 16 Oktober 2024 untuk melaksanakan program kenduri rakyat yang pertama.




© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia