TRELER BANTUAN KEMANUSIAAN BERGERAK KE GAZA (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
12 November, 2023
KENYATAAN MEDIA MUSLIM CARE MALAYSIA
Kaherah (Mesir), 28 Oktober 2023: Tiga treler membawa barangan perubatan, makanan dan minuman keseluruhannya bernilai AS$1.5 juta (RM7.2 juta) yang sebahagiannya disumbangkan rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin, akan bertolak ke sempadan Mesir-Palestin menuju Gaza, selewat-lewatnya pada Isnin (30 Oktober) ini.
Kerja memasukkan barangan bantuan kecemasan itu ke dalam kotak dan memuat naik ke atas lori mula dilakukan pada Jumaat (27 Oktober) dengan turut dibantu sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) yang berada di bandar ini sejak 10 hari lalu.
Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 untuk pembelian barangan perubatan, makanan dan minuman itu daripada RM1.5 juta yang sudah dibelanjakan untuk bantuan kecemasan Palestin.
Menurutnya, majoriti sumbangan disalurkan terus kepada MCM Palestin di Gaza yang diketuai penduduk tempatan, Ahmad Abu Ayesh.
"Untuk bantuan dari Mesir pula MCM dan Muslim Care Egypt bergabung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa "Miles of Smiles" yang berpejabat di London dan turut dianggotai NGO dari United Kingdom, Jordan, Turkiye dan Sweden," katanya.
Johari berkata, antara makanan yang akan dihantar ke Gaza ialah daging, ikan dan kacang dalam tin, tepung gandum keju, serbuk teh, manisan serta air minuman di dalam botol.
"Barangan itu dimasukkan ke dalam kotak kecil yang setiap satu seberat lapan kilogram," katanya yang mengetuai pasukan MCM membabitkan tiga orang. Bersama beliau ialah Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein.
Menurutnya, barangan perubatan pula termasuk pembalut luka, kerusi roda, katil, pengusung beroda, tongkat, alat pengimbas serta mesin ECG untuk rawatan jantung.
Johari berkata, tiga treler setiap satu sepanjang 12 meter yang membawa semua barangan perubatan dan makanan itu akan bertolak selewat-lewatnya Isnin (30 Oktober) dari Kaherah ke bandar Al-Arish yang terletak 45 kilometer dari lintasan Rafah yang memisahkan Mesir dan Gaza.
"Al-Arish kini menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan untuk ke Gaza dan sebuah stadium digunakan untuk tujuan itu. Malah, kerajaan Mesir bercadang membuka hospital medan di bandar itu sebelum melonggarkan kawalan pintu sempadan untuk merawat ribuan rakyat Palestin yang cedera," katanya.