TONGKOL BATU JADI MEJA SEKOLAH ANAK GAZA (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
6 May, 2026

Dengan tubuh yang membongkok, anak-anak ini duduk di atas hamparan pasir. Tangan kecil mereka erat memegang pena, mencatat nota di atas cebisan kertas atau buku lusuh yang hanya beralaskan lutut yang lesu atau ketulan batu daripada runtuhan sekolah mereka.

​Inilah realiti anak-anak dan pelajar di Semenanjung Gaza. Sekolah mereka ranap diledakkan rejim penjajah yang terus berdegil menghalang usaha bina semula mahupun penyediaan keperluan asas pendidikan. Meskipun semangat belajar tetap membara, mereka kini terpaksa berkumpul di dalam khemah tanpa sebarang kemudahan. Ketiadaan meja dan kerusi memaksa pelajar duduk bersila di atas tanah dan debu dalam keadaan yang amat perit.

​Luahan Dari Lubuk Penderitaan

​Mohammed, seorang pelajar tingkatan tiga (gred sembilan), berkongsi:

"Setiap pagi kami datang ke khemah pembelajaran dan membersihkannya, kemudian kami duduk di atas pasir untuk belajar. Kami sering sakit belakang dan kaki kerana duduk terlalu lama dalam posisi yang tidak selesa. Pasir sering mengotorkan buku, malah debu masuk ke mata dan mulut kami terutama ketika angin kencang, menyebabkan mata pedih dan batuk yang teruk."

​Seorang ibu kepada Rana, murid darjah empat, menyuarakan kebimbangan dari sudut kesihatan:

"Khemah ini tiada lantai atau permaidani, hanya pasir dan tanah yang menyesakkan ruang hingga mencetuskan alahan dada kepada kanak-kanak. Mereka mengadu sakit tangan, kaki, dan leher kerana duduk tidak sempurna terlalu lama. Pakaian mereka juga sentiasa kotor, yang menambahkan lagi beban kami sebagai ibu bapa."

​Pergelutan Harian Melawan Alam

​Cikgu Hanaa menjelaskan betapa sukarnya situasi ini terhadap proses pembelajaran:

"Bagaimana seorang kanak-kanak boleh fokus pada soalan matematik jika mereka terpaksa duduk di atas pasir? Belajar tanpa meja adalah satu pergelutan harian dengan alam yang dihadapi oleh murid, guru, dan ibu bapa. Pelajar menderita dan sukar memahami pelajaran, guru bergelut untuk mengawal kelas, manakala ibu bapa pula hiba melihat keadaan anak mereka."

​Rayuan dan Tuntutan

​Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan dengan penyelarasan organisasi antarabangsa untuk menyediakan meja dan kerusi melalui pembuatan tempatan. Namun, usaha itu masih jauh daripada mencukupi berbanding skala keperluan yang besar, terutama apabila pihak penjajah terus menyekat kemasukan bekalan sekolah yang kritikal.

​Sehubungan itu, Kementerian menyeru komuniti antarabangsa dan badan hak asasi manusia untuk campur tangan dengan kadar segera. Desakan dibuat bagi membekalkan keperluan asas sekolah serta usaha serius membina semula fasiliti pendidikan. Ini bagi memastikan anak-anak Palestin di Gaza dapat mengecap hak asasi mereka untuk belajar dengan penuh maruah, sama seperti kanak-kanak lain di serata dunia.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia