TIGA HARI MINUM AIR HUJAN UNTUK TERUS HIDUP (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
14 January, 2026
Peserta Misi Bantuan Banjir Aceh 3.0 Muslim Care Malaysia terpaksa berakit menyeberangi sungai yang lebarnya kira-kira 50 meter bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Lhok Bayu, Sawang Aceh Utara.
Pasangan selebriti adik beradik Heliza dan Hazwani Helmi serta pempengaruh media sosial, Ahmad Faezal adalah antara 50 peserta yang menyertai misi bantuan 3.10 itu bermula 30 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026.
Heliza berkata, pengalaman menaiki rakit itu, biarpun agak menakutkan kerana arus sungai agak deras, namun menjadi kenangan bermakna untuk dirinya dalam melaksanakan misi kemanusiaan di Aceh bersama MCM.
“Kampung Lhok Bayu agak kurang menerima bantuan kerana sukar untuk dimasuki selepas jambatan ke kampung itu hanyut dan musnah akibat banjir. Alhamdulillah kita dapat sampai ke sini dan memberi bantuan kepada lebih 100 keluarga,” katanya.
Ketika peringkat awal,banjir melanda pada 27 November 2025, penduduk langsung tidak menerima bantuan, menyebabkan ada sebahagian mereka yang terpaksa minum air hujan selama tiga hari untuk terus hidup.
Misi Bantuan Banjir Aceh 3.0 membabitkan agihan pelbagai barangan makanan, air bersih dan kit ibadah yang keseluruhan bernilai RM450,000 untuk manfaat kira-kira 5,000 mangsa banjir.
Misi membabitkan lapan NGO Malaysia diketuai Muslim Care Malaysia (MCM) bersama PAPISMA, Ikhlas Care, Ops Ihsan, Pertubuhan Kebajikan Berkat (Berkat), Harmoni Prihatin Malaysia (HPM), Pertubuhan Kebajikan Ilmu & Amal Selangor (Geng Talaqqi) dan Pertubuhan Jariah Qaseh (PJQ).