TIDUR HANYA DUA JAM SEHARI (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
2 December, 2024

Sudah dua kali pembedahan memasang besi di paha kirinya dilakukan, namun Abdul Hamid masih belum pulih dan hanya mampu terlantar di atas tilam usang di rumah sewanya.

Adakalanya, sakit yang amat sangat menyebabkan Abdul Hamid hanya melelapkan mata dua jam sehari.

Demikian nasib malang yang dilalui rakyat Palestin berusia 31 tahun itu selepas rumahnya di Gaza dibom tentera Zionis Israel kira-kira setahun lalu.

Abdul Hamid berjaya dibawa keluar dari Gaza dan kini berada di Kaherah, Mesir untuk menjalani rawatan, namin selepas tujuh bulan pembedahan dilakukan, dia masih belum pulih.

Doktor perubatan yang menyertai misi Bantuan Musim Sejuk Palesti 2024, Dr Mohd Ehsan Hakimi dan Dr Diyana Ahmad melakukan pemeriksaan ke atas Abdul Hamid dan mendapati pemuda itu amat memerlukan rawatan susulan.

“Berdasarkan imej x-ray terkini yang ditunjukkan, jelas tulang pahanya belum bercantum biarpun sudah dimasukkan besi.

“Jadi dia perlukan rawatan susulan atau mungkin satu pembedahan untuk membetulkan keadaan tulangnya,” kata Dr Mohd Ehsan dari Klinik Syifa’ 24 Jam yang menjadi salah satu rakan strategik MCM.

Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan berkata pihaknya sedang memikirkan cara terbaik untuk membantu menampung kos pembedahan Abdul Hamid yang dianggarkan sekitar RM60,000.

“Kalau perlu, mungkin kita akan membawa Abdul Hamid mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur,” katanya.

Ziarah ke atas rakyat Palestin di Kaherah yang hidup susah dan memerlukan bantuan adalah sebahagian daripada program Misi Bantuan Musim Sejuk Palestin 2024 MCM dari 9 hingga 17 November membabitkan 17 peserta.

Selain itu, turut diadakan forum mengenai Palestin bersama pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir yang dihadiri hampir 100 pelajar.





© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia