TIDUR BELUM TENTU BANGUN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
26 August, 2024
Kuala Lumpur: Hati mana tidak tersentuh melihat beribu rakyat Palestin tidur berserakan beramai-ramai di tepi jalan, kaki lima atau bekas runtuhan kediaman yang musnah akibat serangan bertali arus tentera Israel.
Tanpa alas, tikar mahupun bantal, pelarian Palestin di Gaza ini hanya mampu memilih tidur berasak-asak di kawasan terbuka susulan krisis kemanusiaan berterusan di semenanjung berkenaan.
Situasi ini amat meruntun jiwa apabila mereka terpaksa hidup merempat susulan serangan genosid memasuki bulan ke-10 sejak 7 Oktober tahun lalu.
Bagi mereka tidur di kawasan terbuka 'berselimutkan' bintang mengurangkan risiko mati akibat bedilan roket Israel yang menyasarkan bangunan serta struktur kediaman.
Malah, ramai antara mereka turut tidur di kaki lima hospital Nasser, Hospital Kamal Adwan, Hospital Al-Aqsa dan beberapa hospital lain yang masih berfungsi pada tahap minimum susulan masalah bekalan bahan api.
Amat menyedihkan apabila kanak-kanak dan remaja yang menjadi pelarian turut tidur bergelimpangan tanpa selimut.
Penderitaan berterusan rakyat Palestin di Gaza itu dikongsi Presiden Muslim Care Malaysia (MCM)
Zulkifli Wahijan susulan maklumat dikongsikan wakil dan sukarelawan MCM yang berkhidmat di Semenanjung Gaza.
Menurutnya, jutaan rakyat Palestin di Gaza terus dihimpit krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
"Tanpa usaha gencatan senjata, nyawa mereka boleh terkorban pada bila-bila masa. Tiada lagi tempat selamat untuk mereka melarikan diri.
"Mereka sudah lelah dan keletihan berikutan terpaksa berpindah-randah susulan serangan berterusan selain kepungan tentera Israel.
"Ratusan ribu mangsa dipaksa berpindah dan tinggal bersesak-sesak di Rafah, selatan Gaza. Tembok konkrit dibina Israel setinggi lapan meter menyebabkan tiada jalan keluar untuk penduduk Palestin," katanya.
Menurutnya, amat menyedihkan apabila golongan wanita dan anak-anak mereka terpaksa mencari perlindungan atau tidur di merata-rata tempat.
"Tanpa makanan mencukupi, tempat berlindung, kemudahan kesihatan dan air bersih, keadaan rakyat Palestin di Gaza amat menyedihkan.
"Tiada istilah zon selamat berikutan serangan roket dan artileri boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja di Gaza," katanya.
Malah di Jabalia, berpuluh ribu mangsa memenuhi jalanan sambil meletakkan tangan mereka ke mulut sebagai tanda kelaparan.
Difahamkan sehingga kini hampir 500,000 unit rumah di Gaza rosak atau musnah sepenuhnya termasuk sekolah, pejabat kerajaan dan bangunan komersil.
Berdasarkan kajian selepas 51 hari pertempuran antara Israel dan Hamas pada 2014, terdapat 2.4 juta tan sisa runtuhan di Gaza. D
Namun ketika ini sudah ada 37 juta tan serpihan yang perlu dibuang bagi memberi ruang kepada pembinaan semula kediaman dan struktur penting lain bagi mengembalikan kehidupan normal rakyat Palestin di Gaza.
Disiarkan di Harian Metro, 25 Ogos 2024