TERIMA KASIH PASUKAN MALBATT 850-10 ATAS LAYANAN MESRA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
11 January, 2023
Misi Bantuan Musim Sejuk Muslim Care Malaysia (MCM) bagi menyantuni pelarian Syria dan Palestin di Lubnan diakhiri dengan kunjungan hormat ke kem Malbatt 850-10 di Ma'rakah, selatan Lubnan.
Kunjungan kami disambut mesra oleh Komander kem, Kolonel Mohd Rizman Ramli bersama pegawai-pegawai kanan lain termasuk Leftenan Komander Rafhanah Roshdi selaku pegawai penyelaras.
Dalam sesi lawatan selama lebih satu jam itu delegasi MCM yang diketuai Presiden MCM Tuan Haji Zulkifli Wahijan diberi penerangan oleh Tuan Mohd Rizman mengenai latar belakang pasukan, tugas dan tanggungjawab anggota Malbatt 850-10.
Menurut Tuan Mohd Rizman, batalion dengan kekuatan 850 anggota itu ditugaskan menjaga keamanan kawasan sekitar kem yang terletak kira-kira 10 kilometer dengan sempadan Israel.
MALBATT 850-10 yang berkhidmat di bawah panji-panji United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) ditugaskan di situ selama 12 bulan, bermula Oktober 2022.
Sementara itu, Haji Zulkifli berkata pihaknya amat berbesar hati atas kesudian pasukan Malbatt 850-10 menerima kunjungan delegasi MCM.
"Apatah lagi kami diberitahu oleh Tuan Mohd Rizman MCM adalah NGO pertama yang pernah datang ke kem mereka," katanya.
Sesi lawatan diakhiri dengan acara ringkas pemberian cenderamata eksklusif iaitu kemeja-T, lencana dan rantai kunci Malbatt 850-10 oleh Tuan Mohd Rizman kepada keenam-enam peserta misi kemanusian MCM.
Setinggi-tinggi terima kasih MCM ucapkan kepada Tuan Mohd Rizman dan seluruh anggota pasukannya. Selamat bertugas kerana Allah, demi agama, bangsa dan negara.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia Society.
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan,
Tepat pada sasaran.
Tepat pada waktunya.
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia