'SYURGA' 7 METER PERSEGI

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
26 June, 2023

Hatay: Itulah dapur, bilik tidur, ruang tamu dan tempat bermain. Begitu keadaan khemah berukuran tujuh meter persegi yang diibaratkan 'syurga' buat pelarian Syria yang terlepas daripada konflik berdarah sejak setahun lalu.

Biarpun begitu, kebanyakan pelarian yang ditemui tetap menyatakan syukur kerana terlepas daripada zon peperangan yang lebih teruk daripada keadaan kem pelarian.

Keadaan serba daif mereka sangat menyayat hati terutamanya bagi keluarga yang mempunyai bilangan ahli ramai.

Ini disebabkan mereka terpaksa berhimpit untuk tidur dan melakukan aktiviti di bawah khemah kecil berkenaan, malah keadaan lebih mendesak ketika tengah hari dengan cuaca panas yang membahang.

Suhu musim panas di sekitar Wilayah Hatay mampu mencecah 38 darjah selsius dan apa yang mampu dilakukan oleh pelarian Syria ini adalah keluar berteduh di bawah pokok-pokok di sekitar kem berkenaan.

Penulis melihat sendiri suasana menyedihkan di dalam khemah berkenaan dan pelarian Syria ini sangat memerlukan bantuan makanan asas untuk meringankan beban mereka.

Prihatin terhadap keadaan itu, Muslim Care Malaysia (MCM) menghulurkan bantuan berupa pek makanan kepada penghuni pelarian Syria. Orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melakukan transaksi menerusi akaun Maybank 564490413882 atau melayari Facebook (FB) rasmi Muslim Care Malaysia Society.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), terdapat lebih 3.5 juta pelarian Syria berada di Turkiye terutama di beberapa bandar berhampiran dengan sempadan.

Penulis turut melihat di dua daerah utama iaitu Belen dan Iskenderun, terdapat ribuan khemah didirikan oleh pihak berkuasa sebagai penempatan sementara susulan bencana gempa bumi.

Kebanyakan pelarian Syria di kem berkenaan mengharapkan bantuan serta ihsan orang awam khususnya untuk makanan asas. Sebelum ini, lokasi penempatan pelarian Syria di sekitar bandar sempadan antaranya Hatay, Reyhanli dan beberapa lokasi lain.

Pelarian Syria ini melarikan diri daripada konflik berdarah yang melanda negara berkenaan sejak 2013 dan kebanyakkannya dari lokasi peperangan seperti Aleppo, Ghouta dan Damsyik.

Ikuti laporan berita ini di Harian Metro melalui pautan di bawah:

http://bitly.ws/JAva

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia