SUMBANGAN LAPTOP BUAT PELAJAR UNISHAMS

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
13 April, 2026

Alhamdulillah, Muslim Care Malaysia Society terus komited dalam membantu golongan yang memerlukan, kali ini melalui program penyerahan sumbangan laptop kepada dua orang pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS).

Sumbangan ini ditaja oleh penyumbang yang bermurah hati dan simpati kepada para pelajar dengan harapan dapat menjadi pemudah cara buat para pelajar dalam meneruskan pengajian mereka dengan lebih lancar, khususnya dalam era pembelajaran digital yang memerlukan akses kepada teknologi.

Alhamdulillah majlis ringkas program penyerahan sumbangan diadakan di Pusat Matrikulasi UNISHAMS dengan dihadir penerima dan pensyarah mereka. Penerima sumbangan tersebut diakui amat layak berdasarkan kemampuan keluarga dan kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu.

Di sebalik senyuman yang terukir, tersimpan harapan besar agar bantuan kecil ini bagi sebahagian dari kita tetapi amat besar buat mereka yang memerlukannya. Ianya mampu menjadi asbab kepada kejayaan mereka pada masa hadapan. Pendidikan adalah kunci perubahan, dan sokongan seperti ini mampu membuka lebih banyak peluang untuk mereka bangkit dan berjaya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang memudahkan urusan orang lain, maka Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Semoga sumbangan ini memberi manfaat yang berpanjangan dan menjadi saham akhirat buat para penyumbang.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia