
SUMBANGAN KERUSI RODA UNTUK PASANGAN PESAKIT STROK
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 August, 2025
Sharifah Abdul Halip terlantar di atas katil selama 16 tahun manakala suaminya, Andi Radwan Bastari berkeadaan serupa selama lapan tahun.
Begitulah nasib malang pasangan berusia 47 dan 52 tahun dari Kampung Wak Wak, Karambunai, Kota Kinabalu, Sabah itu akibat penyakit strok.
Sumbangan kerusi roda daripada Muslim Care Malaysia (MCM) untuk setiap seorang disambut mereka dengan penuh kesyukuran.
“Dengan kerusi roda ini kami berharap dapat membantu memudahkan pergerakan dan urusan seharian pasangan suami isteri ini,” kata Presiden MCM, Haji Zulkifli Wahijan yang menziarahi pasangan itu pada 18 Ogos 2025.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Sabah Relief, Ustaz Tarmizi Yahya.
Tarmizi berkata, pasangan itu dikurniakan empat anak perempuan. Dua masih bersekolah manakala dua yang bekerja bertanggungjawab menyara keluarga.
Kunjungan dan serahan bantuan MCM bersama Sabah Relief ke rumah suami isteri itu adalah sebahagian daripada program Misi Kasih Asnaf Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 Ogos 2025.