SOLIDARITI PALESTIN "DRIVE FOR GAZA 2.0" DI JELI

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
23 May, 2026

Deruman lebih 70 buah jentera pacuan empat roda memecah sunyi di kawasan trek baharu bawah Jambatan Kuala Balah, Jeli, menjadi bukti penyatuan peminat sukan lasak dalam satu misi yang lebih besar daripada sekadar hobi. Program Kelantan International Jamboree 4x4 2026 & Drive For Gaza 2.0 yang berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 Mei 2026 baru-baru ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan komuniti 4x4 dari pelbagai negeri dalam suasana penuh meriah, malah ia menjadi medan menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap isu kemanusiaan sejagat. Di sebalik laluan mencabar dan ujian kemahiran pemanduan, terselit mesej solidariti yang cukup kuat buat saudara di bumi anbiya.

Kehadiran Muslim Care Malaysia (MCM) dalam program antarabangsa ini memberi dimensi baharu kepada pengisian program sukan lasak tersebut. Pada sesi sebelah malam, suasana santai bertukar menjadi penuh penghayatan apabila Tuan Haji Zulkifli Wahijan, Presiden MCM, dijemput naik bagi menyampaikan ceramah khusus buat para peserta. Dalam kepekatan malam Jeli, beliau membentangkan perkembangan serta laporan terkini mengenai situasi getir yang sedang melanda Palestin saat ini, sekali gus membuka mata ramai tentang realiti perjuangan yang masih belum selesai di sana.

Perkongsian ini menjadi lebih bermakna dan mengusik jiwa kerana tarikh 15 Mei 2026 itu jatuh bersamaan dengan Hari Nakbah Palestin yang ke-79. Peluang yang diberikan kepada MCM untuk menyampaikan taklimat kemanusiaan di hadapan puluhan pemilik jentera lasak ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyuntik kesedaran dan memastikan isu Palestin terus segar dalam sanubari rakyat Malaysia. Melalui program gabungan seperti ini, komuniti 4x4 bukan sahaja membuktikan kehebatan jentera mereka di atas trek mud, tetapi turut membuktikan bahawa hati dan doa mereka sentiasa berpaut teguh bersama perjuangan membebaskan bumi Gaza.

Semoga program berimpak tinggi seperti ini dapat terus dianjurkan dan dikekalkan pada masa akan datang. Usaha murni yang menggabungkan aktiviti rekreasi dengan agenda kemanusiaan sejagat ini sangat penting dalam membina sebuah masyarakat yang prihatin, proaktif, dan sentiasa bersedia menyumbang bakti demi keamanan sejagat.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia