SMART TV 65 INCI UNTUK 33 PELAJAR AUTISTIK
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
24 September, 2026
Seramai 33 pelajar autisme dan orang kurang upaya (OKU) di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Harapan Indah, Kuala Krau menerima sebuah Smart TV 65 inci bagi membantu aktiviti pembelajaran, penjagaan dan pengurusan harian mereka.
Sumbangan menerusi Muslim Care Malaysia Society (MCM) itu direalisasikan hasil tajaan seorang penyumbang yang bermurah hati membiayai sepenuhnya pembelian serta pemasangan televisyen berkenaan.
Hari ini, 17 September 2026, proses penyerahan dan pemasangan Smart TV berkenaan berjaya disempurnakan untuk kegunaan para pelajar serta tenaga pengajar di pusat tersebut.
Sebelum ini, televisyen yang digunakan telah rosak sejak lebih enam bulan lalu. Keperluan tersebut dimaklumkan oleh Ustaz Kamal Ashaari kepada pihak MCM sebelum seorang penyumbang tampil membantu.
Menurut penyelaras pusat, kemudahan televisyen itu bukan sekadar digunakan untuk hiburan, malah menjadi medium sokongan dalam sesi pembelajaran, aktiviti visual dan pengurusan tingkah laku pelajar.
“Bagi sebahagian pelajar yang sangat aktif, tayangan kandungan yang bersesuaian dapat membantu mereka lebih tenang dan memberi ruang kepada para pengajar mengendalikan aktiviti dengan lebih teratur.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana sumbangan ini benar-benar membantu urusan harian di pusat,” katanya.
Suasana selepas pemasangan televisyen turut mencuri perhatian apabila beberapa pelajar yang sebelum itu aktif mula memberi tumpuan kepada tayangan di skrin.
Turut hadir ialah Ustaz Kamal Ashaari bersama beberapa petugas sukarela yang membantu menjayakan urusan pemasangan televisyen berkenaan.
MCM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyumbang atas keprihatinan dan kesudian membantu memenuhi keperluan anak-anak di pusat tersebut.
Sumbangan yang mungkin kelihatan sederhana bagi sesetengah pihak, mampu membawa kelegaan yang cukup besar kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Semoga Allah SWT menerima amal kebajikan ini, melimpahkan keberkatan kepada penyumbang serta keluarganya, meluaskan rezeki dan mempermudahkan segala urusan.