SIARAN MEDIA : SUKARELAWAN MUSLIM CARE MALAYSIA BERTOLAK KE TURKIYE UNTUK HULUR BANTUAN KEPADA MANGSA GEMPA BUMI.

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
23 February, 2023
Kuala Lumpur - Dua pemimpin Muslim Care Malaysia (MCM) berlepas ke Turkiye pada Selasa, 8 Februari untuk menghulurkan sumbangan rakyat Malaysia kepada mangsa gempa bumi di negara itu.
Timbalan Presiden MCM, Haji Mohd Johari Ismail dan Exco Pendidikan, Ustaz Muhammad Nazmi Abd Karim berlepas jam 11 malam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Mohd Johari berkata, destinasi mereka di Turkiye ialah Hatay, satu daripada kawasan yang menerima impak teruk akibat gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 skala Richter pada kira-kira jam 4 pagi dan 1 petang waktu tempatan Isnin lalu.
"Bagaimanapun, kami akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adana kerana lapangan terbang Hatay ditutup akibat berlaku kerosakan ketika gempa bumi.
"Jarak di antara Adana dan Hatay kira-kira 200 kilometer dan mengambil masa perjalanan antara tiga hingga empat jam," katanya ketika ditemui di KLIA. Beliau berkata, Hatay, wilayah paling selatan Turkiye dan bersempadan dengan Syria di sebelah selatan dan timur, mempunyai populasi kira-kira 1.6 juta orang.
"Menurut satu laporan berita, lebih 50 peratus kawasan kediaman musnah akibat gempa dan satu atau dua orang meninggal dunia daripada setiap keluarga,”' katanya. Mohd Johari berkata, antara sumbangan awal yang akan diusahakan pihaknya ialah makanan, pakaian, ubat-ubatan dan wang tunai kepada mangsa gempa.
Sementara itu, Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata, sebelum ini Pengerusi MCM Syria, Muhammad Khatib bersama beberapa sukarelawan sudah lebih awal berada di Hatay iaitu pada hari kejadian, Isnin lalu.
"Alhamdulillah MCM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang paling awal turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan.
"InsyaAllah Haji Johari dan Ustaz Nazmi akan bergabung dengan pasukan diketuai Muhammad Khatib sebaik saja tiba di Hatay," katanya. Rakyat Malaysia boleh menghulurkan bantuan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria melalui akaun bank MCM (5644 9021 1159 – Maybank) dan hantarkan slip sumbangan ke Hotline MCM 011-5005 0035.
Gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria kali ini dikatakan paling teruk dalam sejarah dan jumlah mangsa terkorban di kedua-dua negara itu kini mencecah 8,000 orang.
.
.
.
● Dikeluarkan pada jam 10 malam, Selasa 7 Februari 2023. Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, hubungi Presiden MUSLIM CARE MALAYSIA, Tuan Haji Zulikfli Wahijan (0192518771) atau Tuan Asri Tuan Hussein (019-2121113).
● MUSLIM CARE MALAYSIA (No. Pendaftaran : PPM-001-10-23062006) adalah sebuah NGO Islam yang aktif di dalam misi bantuan kemanusiaan tanpa sempadan serta misi dakwah di dalam dan luar negara. Ditubuhkan pada 2006, kami banyak terlibat dengan misi bantuan kemanusiaan di Palestin, Syria, Indonesia, Pakistan, Iran, Iraq, Myanmar, Kemboja dan beberapa negara lagi yang ditimpa bencana.
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia