SENYUMAN SYUKUR ANAK-ANAK UNISHAM
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
16 March, 2026
Alhamdulillah, pada hari sabtu yang lepas Haji Johari Ismail selaku Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) bersama Hj Arman Mustafa, Ahli Lembaga Pengarah hadir membantu dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAM). Pelajar-pelajar terpilih dikenal pasti berlatar belakangkan keluarga yang kurang berkemampuan.
Mereka meluahkan rasa syukur dan kegembiraan apabila menerima sumbangan laptop serta bantuan tunai yang disampaikan bagi meringankan beban pembelajaran mereka.
Sumbangan ini bukan sekadar bantuan material, tetapi juga suntikan semangat dan harapan agar mereka terus cekal menuntut ilmu, membina masa depan yang lebih cerah serta keluar daripada kitaran kemiskinan melalui pendidikan. Turut hadir dalam majlis ini Al Fadhil Ustaz Zubair selaku pengarah Matrikulasi, Ustazah Fadlina serta beberapa lagi pensyarah.
“Sebelum ini saya terpaksa meminjam laptop kawan2 tetapi ada masa tak dapat kerana mereka juga memerlukan pada masa yang saman Alhamdulillah saya merasakan sangat bersyukur diatas sumbangan kerana keluarga saya pun tak mampu nak beli” ujar salah seorang pelajar yang terpilih menerima bantuan.
Wajah ceria dan senyuman penuh syukur mereka menjadi bukti bahawa setiap sumbangan kecil mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan insan yang memerlukan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang menggembirakan seorang Mukmin, maka Allah akan menggembirakannya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)
Semoga setiap penyumbang yang bersama menjayakan usaha ini dikurniakan ganjaran pahala berlipat ganda serta keberkatan dalam kehidupan.
Terima kasih kepada semua yang terus menyokong usaha kebajikan dan pendidikan anak-anak asnaf.