SEMARAK KASIH RAMADAN DI PERAK & PULAU PINANG

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
26 February, 2026

Sedang umat Islam menjalani ibadah puasa yang kini memasuki hari keenam, Muslim Care Malaysia (MCM) mengambil langkah proaktif memastikan dapur 100 buah keluarga di Pulau Pinang dan Perak tidak kosong sepanjang bulan mulia ini.

Menerusi misi Semarak Kasih Ramadan yang berlangsung pada 21 dan 22 Februari lalu, rombongan MCM yang diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) MCM, Zuriati Yaakob dan Suryana Sutarzi telah meredah dua lokasi berbeza iaitu Kepala Batas dan Bota untuk menyampaikan sumbangan berbentuk beras serta barangan keperluan asas. Kejayaan misi ini adalah hasil keprihatinan dan sumbangan para penderma yang budiman, yang telah bersama-sama menjayakan hasrat murni ini.

Apa yang menarik, misi ini turut mendapat kerjasama padu daripada barisan AJK Surau Kariah tempatan yang bertindak sebagai pemandu arah bagi memastikan bantuan sampai terus ke pintu rumah mereka yang benar-benar memerlukan.

"Tujuannya satu, kita mahu mereka menjalani ibadah puasa dengan tenang tanpa perlu risau tentang bekalan makanan," ujar Zuriati Yaakob.

Keletihan menempuh perjalanan jauh ternyata terubat apabila melihat keceriaan terpancar pada wajah setiap penerima. Kerjasama komuniti seperti ini membuktikan bahawa semangat ukhuwah tetap utuh dalam membantu meringankan beban sesama insan.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia