SANTUNI 100 KELUARGA PALESTIN DI KE TYRE, LUBNAN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
21 February, 2026

Seramai 100 keluarga Palestin di Kem Tyre, Lubnan, telah menerima sumbangan pek makanan hasil inisiatif kemanusiaan Muslim Care Malaysia (MCM) dengan kerjasama rakan strategik tempatan, HARD, sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba.

Program bantuan ini menyasarkan keluarga pelarian yang paling memerlukan di kem tersebut yang terletak berhampiran sempadan Lubnan–Palestin, di mana ia menempatkan lebih 27,000 penduduk yang majoritinya telah hidup dalam keadaan serba kekurangan selama beberapa dekad. Setiap pek makanan bernilai USD50 atau sekitar RM200 mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, serta bahan makanan lain bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga sepanjang bulan suci tersebut.

Delegasi Muslim Care Malaysia dalam misi ini diwakili oleh Ustaz Muhammad Nazmi dan Ahmad Safuan, manakala NGO Ikhlas Care turut diwakili oleh Ustaz Mohd Fadzli bersama dua sukarelawan, Ahmad Faezal dan Muhammad Afiq. Menurut wakil misi, suasana di kem tersebut amat menyentuh hati apabila melihat realiti kehidupan pelarian Palestin yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka akibat konflik berpanjangan, dengan sebahagian keluarga dilaporkan telah hidup sebagai pelarian sejak tahun 1984.

Pihak delegasi menegaskan bahawa bantuan ini bukan sekadar sumbangan material, tetapi merupakan simbol solidariti dan ingatan berterusan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya menjelang Ramadan yang sepatutnya diraikan dalam suasana aman. Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Muslim Care Malaysia dalam memperkukuh bantuan kemanusiaan kepada komuniti pelarian Palestin di Lubnan secara konsisten.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia