"RUMAH INI GUNUNG EMAS BUAT SAYA…”

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
29 May, 2023
“Rumah sumbangan Muslim Care Malaysia ini seperti gunung emas bagi saya,” kata Ustaz Abdul Wahab Ali, Mudir Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman, Terengganu yang rumahnya musnah dalam kebakaran, tahun lalu.
Beliau berkata demikian ketika menerima replika kunci rumah berkenaan daripada Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Tuan Haji Mohd Johari Ismail dalam satu majlis ringkas pada 27 Mei 2023.
Hadir sama, Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Ustaz Megat Suhaimi Megat Idrus yang mewakili ADUN Chukai, Yang Berhormat Tuan Haji Hanafiah Mat.
Rumah milik Ustaz Abdul Wahab dan enam lagi kakitangan di pusat pengajian itu musnah dalam kebakaran pada 25 Januari tahun lalu.
Sehari selepas kebakaran, MCM menyerahkan sumbangan kecemasan RM50,000 untuk semua mangsa dan memberi komitmen membina semula rumah Ustaz Abdul Wahab.
Ustaz Abdul Wahab berkata, beliau amat bersyukur dengan pertolongan MCM dan ia jelas menunjukkan di sebalik musibah yang berlaku, Allah SWT ada perancangan tersendiri yang tidak terfikir oleh manusia.
“Saya mengasaskan Taman Pengajian Islam ini lebih 40 tahun lalu dengan penuh cabaran. Jadi, apabila rumah saya dan enam lagi kakitangan musnah terbakar dalam tempoh cuma 10 hingga 15 minit, memang rasa sedih sangat.
“Rupa-rupanya Allah ingin memberikan sesuatu yang lebih baik. Jadi, kita kena yakin setiap ujian Allah ada hikmahnya. Allah bagi kita musibah dan Allah juga yang memulihkannya,” katanya.
Sementara itu, Haji Mohd Johari berkata rumah berharga RM100,000 itu siap dibina ketika Ramadan lalu dan mengambil masa agak lama untuk disiapkan kerana pembinaannya terhenti lebih dua bulan hujung tahun lalu akibat faktor cuaca.
“Alhamdulillah, maklum balas orang ramai untuk membina semula rumah Ustaz Abndul Wahab mendapat sambutan amat baik. Tak sampai sebulan kita sudah mencapai sasaran dana yang dikehendaki.
“Cuma, kerja pembinaan mengambil masa agak lama sebab perlu menyelesaikan urusan dokumentasi dengan pihak berkuasa, selain tertangguh lebih dua bulan ketika musim hujan hujung tahun lalu,” katanya.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan
Tepat Pada Sasaran, Tepat Pada Waktunya.
 
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia