RM50,000 KEPADA KEDUTAAN IRAN TANDA SOLIDARITI

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
30 April, 2026

Muslim Care Malaysia Society (MCM) meneruskan misi kemanusiaan sejagat menerusi kunjungan hormat dan penyerahan sumbangan bantuan kemanusiaan kepada Kedutaan Republik Islam Iran di Kuala Lumpur, semalam.

Pertemuan yang berlangsung selama kira-kira 30 minit itu dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi MCM yang disambut mesra oleh Duta Besar Iran ke Malaysia, TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

Dalam pertemuan tersebut, MCM telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 hasil kutipan daripada rakyat Malaysia yang prihatin. Sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat Iran, sekali gus menjadi simbol solidariti dan semangat persaudaraan kemanusiaan antara kedua-dua buah negara.

Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan, turut mengimbas kembali sejarah bantuan MCM yang pernah turun padang membantu mangsa gempa bumi di Bam, Iran, pada awal tahun 2000

Selain misi bantuan, MCM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Iran atas kerjasama erat dalam aspek keselamatan maritim. Ini termasuk memastikan laluan kapal minyak Malaysia melalui Selat Hormuz sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Sebagai tambahan kepada sumbangan tunai, MCM memaklumkan bahawa sebuah kontena berisi barangan keperluan asas telah berjaya disediakan dan sedia untuk diagihkan kepada golongan sasar yang memerlukan di Iran.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan, dengan diiringi Timbalan Presiden, Mohd Johari Ismail serta barisan Ahli Lembaga Pengarah MCM.

Kehadiran barisan kepimpinan ini memperkukuhkan lagi komitmen MCM dalam melaksanakan misi kemanusiaan merentasi sempadan tanpa mengira latar belakang, selaras dengan slogan sambutan ulang tahun mereka yang ke-20. Muslim Care Malaysia menegaskan akan terus konsisten menjadi jambatan bantuan buat komuniti antarabangsa yang ditimpa musibah.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia