REDAH 80KM UNTUK KASIH ASNAF BANK RAKYAT BERSAMA MCM
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
2 December, 2024
“Saya keluar rumah pada jam 5.30 pagi untuk datang ke program ini dan amat bersyukur dengan sumbangan yang saya terima hari ini.”
Itu kata Encik Sevrinus Truly, dari Kampung Dalit yang jaraknya kira-kira 80 kilometer dari Dewan Masyarakat Sook, Keningau Sabah, lokasi Kasih Asnaf Bank Rakyat Bersama Muslim Care Malaysia (MCM).
Program berlangsung pada 27 November 2024 membabitkan penyerahan pek makanan kepada 300 penerima dan beg sekolah beserta alat tulis kepada 200 murid.
Biarpun majlis bermula jam 9.30 pagi, seawal jam 7.30 pagi lagi penerima yang datang dari hampir 20 kampung di sekitar daerah kecil Sook dan Tulid, sudah berkumpul di lokasi.
Ketua Bank Rakyat Wilayah Sabah, Encik Md Azmi Mohd Taib dalam ucapannya berkata program kebajikan bersama MCM ini adalah tanda kesyukuran atas pertumbuhan prestasi mapan Bank Rakyat sepanjang tahun ini.
“Jumlah RM30,000 yang disumbangkan mungkin tidak seberapa nilainya, namun diharap mampu meringankan beban penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf,” katanya.
Setiausaha Agung MCM, Encik Ahmad Safuan Ujar pula menjelaskan, setiap pek makanan mengandungi barangan termasuk beras, gula dan minyak masak yang bernilai RM100 manakala beg sekolah serta alat tulis bernilai RM50 setiap satu set.
“Terima kasih kepada Bank Rakyat kerana memilih MCM sebagai rakan strategik untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) mereka di Sabah ini,” katanya.
Turut berkolaborasi dalam menjayakan program ini ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang diwakili Ketua Unit Dakwah Daerah Kecil Sook, Ustaz Mohd Azrin dan Sabah Relief yang diwakili Timbalan Pengerusi, Ustaz Mohd Tarmizi Mohd Yahya.