RASMI MASJID NISHIKASAI, BINA MASJID WAKAYAMA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
19 May, 2024

Acara simbolik perasmian Masjid Nishikasai di Tokyo, Jepun menjadi agenda utama lawatan rombongan Muslim Care Malaysia (MCM) ke Jepun dan Korea bermula 12 hingga 20 Mei 2024.

Acara itu akan disempurnakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri selaku Penasihat MCM yang turut menyertai lawatan.

Ketua rombongan yang juga Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan berkata Masjid Nishikasai mula dibina dengan kos RM4.4 juta pada 2022 sebelum siap sepenuhnya hujung tahun lalu.

“Sebanyak RM1.25 juta daripada jumlah itu sumbangan rakyat Malaysia melalui MCM. Oleh itu kami berbesar hati Datuk Seri Dr Zulkfli sudi bersama MCM ke Jepun untuk merasmikan Masjid Nishikasai,” katanya.

Selain Haji Zulkifli dan Datuk Seri Dr Zulkifli, rombongan ke Jepun dan Korea turut disertai Naib Presiden MCM, Muhd Khidir; Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar dan Pegawai Media Maktabah Al Bakri, Encik Zafan.

Sehingga kini, MCM menyumbang dana dalam pembinaan empat masjid di Jepun iaitu di Toyama pada 2014, Chiba (2016), Kyoto (2020 dan Nishikasai, Tokyo (2022).

Satu lagi agenda utama lawatan ke Jepun ialah menjalinkan kerjasama dengan Japan Dakwah Center (JDC) bagi membina sebuah masjid di Wakayama. JDC diasaskan seorang rakyat Malaysia yang menetap di sana, Zulkarnain Hasan Basri.

Haji Zulkifli berkata, rombongannya dijadual bertolak ke Korea pada 17 Mei untuk beberapa program termasuk membincangkan pembinaan sebuah Pusat Islam MCM di Seoul, kunjungan ke pejabat Kedutaan Malaysia serta pertemuan dengan rakyat Malaysia yang menetap di negara itu.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia