
PUSAT ISLAM DI MANCHESTER : MCM TERUS MENDUNIA
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
13 May, 2025
Muslim Care Malaysia (MCM) telah mengadakan satu program inspirasi di Masjid Khizra, Manchester pada 10 Mei 2025 yang berjaya menghimpunkan rakyat Malaysia dan masyarakat tempatan yang prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan global.
Diketuai oleh Presiden MCM, Tuan Hj. Zulkifli Wahijan, sesi ini memperkenalkan usaha gerak kerja MCM di Palestin, Syria, Turkiye dan Indonesia. Ramai pengunjung tertarik dan kagum dengan misi-misi yang dijalankan – malah ada yang menyatakan hasrat untuk turut serta menyumbang tenaga dan kepakaran.
Turut menyentuh hati adalah perkongsian Dr Raja Ismahan Hanee, pakar pediatrik dari UK yang pernah turun sendiri ke Gaza sebagai sukarelawan perubatan. Kisah beliau membuka mata banyak pihak, bahawa dalam kehancuran, masih ada harapan yang menyala.
سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
“Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya…”
(Surah al-Isra’, ayat 1)
Bumi Palestin bukan sekadar tanah bergolak, bahkan ia tanah suci yang menjadi amanah ummah. MCM komited untuk terus membantu dan mempertahankan hak saudara-saudara kita di sana.
Majlis turut dimeriahkan dengan deklamasi sajak, acara kuiz dan jualan amal bagi menyokong dana kemanusiaan.
Teruskan bersama Muslim Care Malaysia.
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan.
Tepat Pada Masa.
Tepat Pada Sasaran.