PROJEK AIR BERSIH MCM BANTU PELARIAN PALESTIN DI LUBNAN

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
21 February, 2026

Usaha menyediakan akses air bersih kepada pelarian Palestin di selatan Lubnan terus diperkukuh apabila Muslim Care Malaysia dengan kerjasama NGO tempatan HARD melaksanakan projek bekalan air bersih bernilai RM100,000 di Kem Burj Al-Shemali, Tyre, Lubnan.

Kawasan Tyre atau Sour menempatkan tiga kem pelarian utama iaitu Rashidieh Camp, El Buss Camp dan Burj Al-Shemali Camp, dengan kem terakhir dikenal pasti sebagai lokasi paling padat penduduk. Menurut data UNRWA, kira-kira 27,000 pelarian Palestin berdaftar menetap di kawasan tersebut.

Projek ini memanfaatkan sumber air bawah tanah (mineral) yang kemudiannya melalui sistem penapisan moden termasuk proses desalinasi, memandangkan kedudukan kem yang sangat hampir dengan laut. Hasilnya, hampir keseluruhan penduduk kem kini berpeluang menikmati bekalan air bersih secara percuma hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Muslim Care Malaysia.

Dalam majlis perasmian projek, Datuk Bandar Tyre menyampaikan penghargaan mendalam kepada rakyat Malaysia atas keprihatinan berterusan terhadap nasib pelarian Palestin di Lubnan.

Beliau menyifatkan projek tersebut sebagai bantuan yang amat signifikan kerana isu kekurangan air bersih merupakan antara cabaran terbesar di kem pelarian, khususnya dengan keadaan infrastruktur lama serta pencemaran sumber air di kawasan selatan negara itu.

Sementara itu, wakil Muslim Care Malaysia, Ustaz Muhammad Nazmi, menegaskan bahawa projek ini bukan sekadar menyediakan kemudahan asas, tetapi melambangkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan dan kelangsungan hidup masyarakat Palestin di perantauan.

Menurut beliau, akses kepada air bersih adalah hak asas manusia dan menjadi keutamaan dalam misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia, khususnya bagi komuniti pelarian yang telah hidup dalam keadaan serba kekurangan selama beberapa generasi.

Projek ini dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada ribuan penduduk kem dan menjadi model kepada usaha bantuan kemanusiaan berasaskan keperluan kritikal di kawasan pelarian Palestin di Lubnan.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia