PROGRAM HIJRAH HAWA: DARAHKU IBADAHKU
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
30 June, 2026
Alhamdulillah, Program Hijrah Hawa anjuran bersama Muslim Care Malaysia Society (MCM), Pertubuhan HIKMAH dan Surau Al-Ikhwan, Bandar Baru Sungai Buloh telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Jun 2026.
Program ini menampilkan pengisian bertajuk “Darahku, Ibadahku: Bila Haid Jadi Ujian Kesihatan dan Keimanan” yang disampaikan oleh Ustazah Muzayyanah Abdullah.
Pengisian ini menjadi ruang ilmu dan kesedaran buat para wanita untuk memahami isu kesihatan, ibadah dan keimanan dengan lebih dekat, seterusnya membina kekuatan diri sebagai muslimah yang seimbang antara tuntutan dunia dan akhirat.
Dalam program yang sama, sedikit slot penerangan berkaitan isu semasa Palestin turut diadakan bagi menyemarakkan kesedaran dan solidariti masyarakat terhadap penderitaan saudara kita di bumi Gaza.
Pada kesempatan tersebut, pihak Surau Al-Ikhwan, Bandar Baru Sungai Buloh turut menyerahkan mock cheque berjumlah RM2,360 kepada Zuriati Yaacob, wakil Ahli Lembaga Pengarah Muslim Care Malaysia Society (MCM) sebagai sumbangan kepada Dana Palestin MCM.
Muslim Care Malaysia Society merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Surau Al-Ikhwan, Pertubuhan HIKMAH, para penganjur, penyumbang dan semua yang hadir atas sokongan serta keprihatinan yang diberikan.
Semoga setiap ilmu yang dikongsikan menjadi manfaat, dan setiap sumbangan yang disalurkan menjadi saksi kebaikan serta amal jariah di sisi Allah SWT.