PRESIDEN MCM BERUCAP ISU PALESTIN DI UNIVERSITI BRAZIL (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
1 April, 2024

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Haji Zulkifli Wahijan diberi penghormatan berucap di satu sesi perbincangan mengenai kekejaman Zionis Israel ke atas Palestin di Sao Paolo Brazil pada 20 Mac 2024.

Sesi perbincangan itu yang bertajuk “Jenayah Perkauman dan Pembunuhan Beramai-ramai di Palestin” diadakan di PUC-SP University.

Di dalam ucapannya Haji Zulkifli berkongsi pengalaman beliau memasuki bumi Gaza sebanyak empat kali termasuk ketika Gaza diserang Israel selama tiga hari pada Ramadan 2019.

Beliau juga menyentuh tentang empat aset MCM yang musnah akibat dibom Israel di Gaza iaitu Masjid Muhammad Al Amin, pusat fisioterapi, ruang tambahan di kompleks imigresen Rafah dan bangunan komersial Kompleks Wakaf.

“MCM melalui wang sumbangan rakyat Malaysia telah membelanjakan hampir RM3 juta untuk menghantar bantuan makanan sepanjang perang kali ini yang sudah berlanjutan hampir enam bulan,” katanya.

Haji Zulkifli turut memuji ketegasan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menarik duta besar negaranya di Israel, sebagai bantahan terhadap jenayah dilakukan Israel ke atas Palestin.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia