PESERTA KEMBOJA SERTAI BENGKEL 'TOT' PROJEK KUNYIT BERTANG
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
12 July, 2026
Muslim Care Malaysia Society (MCM) telah menganjurkan Bengkel “Training of Trainers” (TOT) Projek Pembangunan Ekonomi Kunyit Bertang bertempat di Bengkel Kunyit, Kampung Bertang, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.
Program ini menghimpunkan seramai tujuh orang peserta, yang terdiri daripada enam wakil dari Kemboja dan seorang dari Petaling Jaya. Bengkel ini turut mendapat sokongan penuh daripada dua orang pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Hadir sama menjayakan majlis ialah Timbalan Presiden MCM, Haji Mohd Johari Ismail, bersama barisan kakitangan pengurusan MCM.
Sesi perkongsian ilmu ini dikendalikan oleh dua pakar tempatan, Puan Dalmah Ismail dan Puan Norihan Ismail, dengan bantuan pegawai RISDA. Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan dengan teori dan praktikal merangkumi teknik penanaman kunyit serta kaedah penghasilan produk hiliran berasaskan herba tersebut.
Melalui pendekatan turun ke lapangan, peserta berpeluang mempelajari selok-belok asas penanaman, penjagaan, pengurusan hasil, sehinggalah kepada potensi pemprosesan kunyit sebagai produk bernilai tambah yang tinggi.
Pendekatan TOT ini dirangka khusus untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja mahir, malah berupaya menjadi mentor yang akan melatih dan memperkasa komuniti setempat sekembalinya mereka ke Kemboja kelak.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MCM dalam memacu agenda pemerkasaan ekonomi komuniti menerusi sektor pertanian lestari. Tanaman kunyit dipilih kerana potensinya yang besar sebagai sumber pendapatan baharu, khususnya melalui rantaian produk hiliran yang boleh dikomersialkan secara berperingkat.
MCM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tenaga pengajar, pegawai RISDA, serta seluruh peserta yang menjayakan bengkel ini. Pihak penganjur berharap agar ilmu dan kemahiran yang ditimba dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi membina sebuah projek ekonomi komuniti islam yang mampan dan berimpak tinggi di Kemboja.