PERTEMUAN DELEGASI MCM DENGAN JABATAN SOSIAL & KEBAJIKAN LATAKIA SYRIA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
12 February, 2026

Satu pertemuan strategik telah berlangsung antara wakil organisasi kemanusiaan Malaysia dan Pengarah Jabatan Sosial dan Kebajikan kawasan Latakia, Mahmoud Hj Ibrahim pada 11 Februari 2026.

Pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama bantuan kemanusiaan oleh Muslim Care Malaysia (MCM) yang telah terjalin sejak tahun 2013.

Delegasi MCM diwakili Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar bersama Ahli Lembaga Pengarah Ustaz Muhammad Nazmi Karim manakala Ikhlas Care diwakili oleh Ustaz Muhammad Fadzli.

Turut hadir sebagai pemerhati dan rakan advokasi kemanusiaan ialah pempengaruh sosial Ahmad Faezal dan Muhammad Afiq, yang memainkan peranan dalam memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap isu kemanusiaan di Syria.

Pertemuan ini menandakan kesinambungan hubungan yang telah dibina sejak awal penglibatan Muslim Care Malaysia di Syria pada tahun 2013. Mahmoud Hj Ibrahim menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan rakyat Malaysia yang konsisten membantu komuniti terjejas di Latakia, khususnya dalam sektor kebajikan sosial dan bantuan asas.

Muslim Care Malaysia sebelum ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk:

• Agihan bantuan makanan musim sejuk

• Pendidikan Pra Sekolah sehingga Pra Universiti.

• Sokongan perubatan dan keperluan asas

• Program sokongan keluarga miskin dan anak yatim

• Bantuan kecemasan pasca konflik dan bencana

Antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah:

1. Penyelarasan bantuan musim sejuk 2026 bagi keluarga asnaf.

2. Penilaian keperluan semasa komuniti Latakia, termasuk bantuan makanan, pendidikan dan kesihatan.

3. Kerjasama teknikal dengan Jabatan Sosial dan Kebajikan Latakia bagi memastikan agihan lebih sistematik dan telus.

4. Cadangan projek pemerkasaan ekonomi untuk membantu keluarga berdikari dalam jangka panjang.

Dalam ucapannya, Ustaz Muhammad Nazmi menegaskan bahawa kehadiran delegasi Malaysia bukan sekadar simbolik, tetapi membawa komitmen jangka panjang untuk terus berdiri bersama rakyat Syria dalam fasa pemulihan dan pembangunan semula.

Mahmoud Hj Ibrahim pula menyatakan bahawa kerjasama bersama NGO Malaysia merupakan antara contoh hubungan rentas negara yang memberi kesan langsung kepada masyarakat setempat, khususnya golongan miskin, ibu tunggal dan anak-anak yang terkesan akibat konflik berpanjangan.

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia