PERSEDIAAN BENGKEL "TOT" PROJEK EKONOMI KUNYIT BERTANG
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 June, 2026
Muslim Care Malaysia (MCM) terus komited memacu agenda memperkasakan ekonomi ummah menerusi lawatan kerja khas ke Projek Pembangunan Ekonomi Kunyit Bertang yang dijalankan pada 13 Jun lepas. Projek komuniti ini merupakan inisiatif yang menerima bantuan dan sokongan berterusan daripada agensi kemanusiaan tersebut sejak tahun 2023.
Lawatan kerja tersebut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah MCM, Zuriati Yaacob dan Suryana Sutarzi, sebagai persediaan awal bagi menganjurkan bengkel "Training of Trainers" (TOT) yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan.
Program yang berteraskan konsep pemindahan kemahiran (skill transfer) ini bakal melibatkan penyertaan daripada wakil MCM dari Kemboja. Menerusi platform ini, para peserta akan dilatih secara praktikal mengenai teknik penanaman kunyit serta penghasilan produk hiliran untuk diadaptasi dan dilaksanakan sekembalinya mereka ke Kemboja kelak.
Antara produk komuniti Kampung Bertang yang bakal dipelajari sepanjang bengkel tersebut merangkumi inovasi berasaskan kunyit seperti kunyit serbuk, sabun kunyit, minyak kunyit, dan daun kunyit crispy. Selain itu, delegasi juga akan didedahkan dengan pembuatan makanan tradisional seperti tempoyak dan sambal hitam Pahang.
Bagi mengoptimumkan potensi sektor agro-komuniti, pengisian bengkel turut diperluaskan dengan perkongsian ilmu berkaitan penternakan dan penghasilan madu kelulut, projek penternakan ikan dalam sangkar, serta kemahiran pembuatan produk berasaskan kayu-kayuan.
Pelaksanaan bengkel TOT berskala antarabangsa ini dijayakan melalui kerjasama erat dan sinergi strategik antara tiga pihak utama, iaitu MCM, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bertang, dan pihak Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA). Kerjasama ini diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada kemandirian ekonomi masyarakat setempat serta melahirkan rantaian impak positif yang melangkaui sempadan negara.