PERKUKUH UKHUWAH BERSAMA PELAJAR MALAYSIA DI SYRIA
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
21 February, 2026
Muslim Care Malaysia (MCM) terus mengukuhkan ukhuwah dan jalinan silaturrahim bersama komuniti pelajar Malaysia di Syria menerusi satu majlis pertemuan khas yang diadakan di sini baru-baru ini. Pertemuan tersebut bertujuan untuk menyelami kebajikan pelajar serta membincangkan bentuk sokongan yang dapat disalurkan bagi memastikan kelancaran prestasi akademik mereka di bumi Syam.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ahli Lembaga Pengarah MCM, Ahmad Safuan Ujar membincangkan program-program bantuan yang dapat disediakan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar di sini. Komitmen ini turut diperkukuhkan oleh Ahmad Faezal yang mengingatkan para pelajar tentang kepentingan mempunyai jati diri yang kuat dalam mendepani cabaran di perantauan.
Bagi pengisian rohani, Ustaz Muhammad Nazmi menyampaikan nasihat agar para pelajar sentiasa menjaga niat dan integriti sepanjang menuntut ilmu demi keberkatan masa hadapan. Turut berkongsi pandangan ialah Muhammad Afiq, seorang guru bahasa Rusia, yang menekankan kepentingan penguasaan bahasa dan adaptasi budaya sebagai nilai tambah dalam pengajian antarabangsa.
Sinergi bantuan kemanusiaan ini turut mendapat kerjasama daripada NGO Ikhlas Care melalui wakilnya, Ustaz Fadzli, yang menyatakan kesediaan untuk terus berkolaborasi dalam inisiatif kebajikan pelajar. Manakala wakil pelajar, Ustaz Amirul Ikhwan, dalam ucapan balasnya menzahirkan rasa syukur dan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan pihak MCM. Beliau turut berkongsi pelbagai pengalaman serta cabaran hidup yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia sepanjang menetap di Syria.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada persatuan pelajar sebagai tanda sokongan moral dan material. Muslim Care Malaysia bertekad untuk terus memperkasakan hubungan ini melalui program-program bantuan akademik yang lebih holistik serta melibatkan pelajar secara aktif dalam misi kesukarelawanan di Syria pada masa akan datang.