PERIKSA 100 PESAKIT DALAM MASA DUA HARI (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
2 December, 2024
Biarpun masa diperuntukkan tidak sampai dua jam, alhamdulillah tiga doktor perubatan yang mengikuti Misi Bantuan Musim Sejuk Palestin Muslim Care Malaysia (MCM) mampu melakukan memeriksa lebih hampir 100 pesakit.
Sesi pemeriksaan kesihatan itu berlangsung dua hari berturut-turut di dua kawasan penempatan pelarian Palestin di Jordan iaitu Husain dan Wahdah pada 13 dan 14 November 2024.
Tiga doktor terbabit ialah Dr Mohd Ehsan Hakimi dan Dr Diyana Ahmad dari Klinik Syifa’ 24 Jam dan Dr Bazli Bakar yang kini beralih ke bidang korporat dengan jawatan terkini Naib Presiden RHB Bank.
“Pada hari pertama, pesakit tak ramai. Tak sampai 10 orang semuanya wanita tapi masalah kesihatan mereka agak rumit termasuk ada yang mengalami tekanan perasaan.
“Pada hari kedua pula, semua yang hadir adalah kanak-kanak. Alhamdulillah, tiada yang mengalami masalah kesihatn serius kecuali seorang yang menghidap tonsil,” katanya.
Dr Mohd Ehsan yang pertama kali mengikuti misi bantuan kemanusiaan MCM berkata, biarpun agak penat tetapi ia pengalaman menyeronokkan dan berharga buat beliau.