PENUNTUT USIM-DQ MULA KENAL “KULTIM, KULTUM, KULSUB DAN KULMAGH”

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
24 August, 2026

Antara perkara awal yang diterapkan kepada 31 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia-Darul Quran (USIM-DQ) yang menyertai Misi Bakti Hufaz di Pulau Mabul, Sabah bersama Muslim Care Malaysia (MCM) ialah amalan majlis ilmu ringkas setiap kali selesai solat berjemaah.

Sejak 21 tahun penubuhannya, tazkirah atau majlis ilmu ringkas yang dijenamakan dengan nama singkatan seperti Kultim (kuliah tiga minit), Kultum (kuliah tujuh minit), Kulsub (kuliah subuh) dan Kulmagh (kuliah Maghrib) menjadi amalan wajib dalam aktiviti MCM.

Dalam Misi Bakti Hufaz yang berlangsung dari 18 hingga 21 Ogos 2026, 31 penuntut USIM-DQ yang terlibat, amat beruntung kerana dapat mendengar perkongsian ilmu daripada mantan Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut menyertai misi itu.

Antara program yang dirangka sepanjang misi ialah aktiviti bersama kanak-kanak di Pulau Kulapuan, pelajar Madrasah Islamiah Pulau Mabul dan pelajar Madrasah Terapung MCM yang terdiri daripada kanak-kanak Bajau Laut atau Palauh.

Tiga puluh satu peserta misi membabitkan 21 penuntut lelaki dan 10 penuntut perempuan yang mengikuti pengajian menghafaz al-Quran peringkat ijazah sarjana muda di USIM–DQ.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia