PENSYARAH UPNM SERTAI MISI 5.0 MCM KE SYRIA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
21 June, 2023
Satu lagi kumpulan misi bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia (MCM) berlepas ke Syria, kali ini turut disertai pensyarah dan penyelidik daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kumpulan seramai lapan orang itu diketuai Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan, selain Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar serta sukarelawan Mohamad Sharis Abdul Karim dan Mohd Khairul Mustazam Idris.
Pihak UPNM pula diketuai pensyarah Fakulti Pangajian dan Pengurusan Pertahanan, Prof Dr Mohd Mizan Mohamad Aslam, penuntut program doktor falsafah (PhD) seliaan beliau, Haji Mohd Karim A Rahman dan penyelidik, Amirulhamzah Mohd Amin.
Turut serta, wartawan akhbar Harian Metro, Muhammad Saufi Hassan.
Haji Zulkifli berkata, objektif misi kali ini ialah meneruskan bantuan kepada mangsa gempa bumi yang melanda Syria dan Turki pada 6 Februari lalu.
“InsyaAllah kami akan berada di bumi Syria selama lima hari bermula 21 Jun 2023. Antara kawasan yang akan dilawati adalah Jindires, Afrin, Idlib dan Atma.
"Misi kelima ini memberi fokus kepada bantuan pasca gempa bumi dan meninjau perkembangan infrastruktur yang dibina oleh MCM hasil misi sebelum ini" katanya.
Beliau berkata, sejumlah RM150,000 diperuntukkan untuk misi kali ini dan jutaan terima kasih diucapkan kepada Surau Al-Muhsinin Petronas, Menara KLCC Kuala Lumpur dan Badan Kebajikan Pekerja Islam Petronas (Bakip) yang turut menyumbang.
Sementara itu, Dr Mohd Mizan berkata, antara tumpuan pihaknya ialah meninjau kerjasama akademik termasuk kajian, mobiliti pelajar dan kerjasama pembangunan akademik.
Peserta misi berlepas secara berasingan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara berasingan pada 19 dan 20 Jun 2023.
Kumpulan misi pertama MCM ke Syria dan Turkiye dihantar pada 8 Februari dan yang keempat pada 8 Mei lalu.
Ingat Sedekah Jariah, Ingat Muslim Care Malaysia.
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan,
Tepat pada sasaran,
Tepat pada waktunya
 
 
© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia