PENOREH GETAH DI PADANG TERAP TERIMA BANTUAN MCM (VIDEO)
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
29 August, 2026
Muslim Care Malaysia Society (MCM) bersama beberapa rakan strategik turun menyantuni 150 orang asnaf dalam kalangan penoreh getah di Kampung Bagan, Naka, Padang Terap, Kedah pada 23 Ogos lalu.
Program yang berlangsung di sebuah kebun getah itu menyaksikan penyampaian sumbangan barangan keperluan kepada penduduk kampung yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan kanak-kanak, sebagai sebahagian usaha meringankan beban golongan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil torehan getah untuk menyara keluarga.
Pendapatan penoreh getah di kawasan itu tidak menentu kerana bergantung kepada hasil, harga pasaran dan cuaca, menjadikan mereka golongan yang wajar diberi perhatian dari sudut kebajikan.
Program itu turut mendapat kerjasama Surau Al Insaf, Khidmat Malaysia Negeri Kedah, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Padang Terap, Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Bagan Datuk Kamil Din, serta Lajnah Kebajikan Dewan Pimpinan Pusat Negeri Kedah (DPPNK).
Turut hadir menyaksikan penyampaian sumbangan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, YB Mohd Radzi Md Amin, dan YB Ustaz Nurul Amin Hamid dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Padang Terap.
Program seumpama ini dijalankan sebagai usaha berterusan MCM memastikan golongan asnaf di kawasan pedalaman tidak terpinggir daripada bantuan kebajikan, walaupun sumbangan yang diberikan tidak mampu menyelesaikan keseluruhan kesulitan yang dihadapi.
Bagi MCM, setiap sumbangan yang disampaikan bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi mesej bahawa golongan ini tidak dilupakan.
Semoga setiap sumbangan yang sampai ke tangan mereka menjadi asbab kegembiraan sebuah keluarga, keberkatan kepada para penyumbang dan amal yang terus dicatat di sisi Allah SWT.