PENGALAMAN MASUK KE ZON PERANG (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2025

Daerah Ma’aratun Nu’man di Aleppo, Syria memang dikenali sebagai kawasan peperangan, sejak zaman kerajaan Bani Umaiwayah sehinggalah ke era ini.

Malah, sebelum kejatuhan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember tahun lalu, daerah itu turut menjadi medan pertempuran sengit antara tentera rejim Bashar dengan pejuang mujahidin Syria.

Dua puluh lapan peserta misi bantuan kemanusiaan ‘Malaysia Aid 2 Syria’ menimba pengalaman menarik pada 23 Januari 2025 apabila dibawa ke zon perang itu untuk melihat sendiri kemusnahan yang berlaku.

Di Ma’aratun Nu’man juga terletak makam Saidina Umar Abdul Aziz, seorang daripada khalifah Islam yang amat terkenal sebagai pemerintah yang adil, amanah dengan kerajaan yang aman serta makmur.

Sepanjang perjalanan sejauh kira-kira lima kilometer dari jalan utama ke perkampungan Der As-Syarqi di mana terletak makam Saidina Umar Abdul Aziz, kesan runtuhan dapat dilihat sepanjang jalan.

Di makam Saidina Umar Abdul Aziz, Exco Muslim Care Malaysia (MCM) Ustaz Nazmi Abd Karim mengimbau kehebatan pemimpin agung itu sebagai perkongsian ilmu kepada peserta.

“Tanah kuburpun Saidina Umar tidak mahu gunakan tanah wakaf kerana tidak mahu dianggap menyalah guna harta kerajaan.

“Malah, beliau membeli tanah daripada seorang bukan Islam untuk dijadikan tanah kubur, hingga menyebabkan orang bukan Islam itu akhirnya memeluk Islam,” kata Ustaz Nazmi.

Misi ‘Malaysia Aid 2 Syria’ berlangsung selama 12 hari sehingga 31 Januari 2025. Agihan sumbangan di Aleppo telah disempurnakan dan peserta bakal memulakan program di Damsyik pada 25 Januari 2025.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia