PENGALAMAN MANIS MENGISLAMKAN 30 SAUDARA BARU
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
10 May, 2026
Bukan mudah untuk mendapat peluang mengislamkan saudara baru, namun itulah yang diperolehi semua 17 peserta Misi Dakwah dan Kebajikan Muslim Care Malaysia (MCM) ke Kemboja pada 1 dan 2 Mei 2026.
Majlis pengislaman beramai-ramai itu berlangsung di Wedo Educational Centre (WEC) yang terletak di Phum Thmey, Wilayah Kbong Tmoum, Kemboja dan membabitkan 30 saudara baru.
“Alhamdulillah, ini kali pertama setiap peserta dapat peluang mengislamkan saudara baru. Memang ia pengalaman manis buat kami kerana kebiasaannya, pengislaman dilakukan secara beramai-ramai oleh Ketua Misi atau Ustaz saja,” kata salah seorang peserta, Puan Noorazian Ghazali,
Semua itu hasil kerja keras Pengasas WEC, Ustaz Zahri yang memangaktif dalam kegiatan dakwah di Kemboja dan setiap kali rombongan MCM mengunjunginya, pasti ada puluhan saudara baru yang bersedia untuk mengucap kalimah syahadah.
Pengarah Misi yang juga Ahli Lembaga Pengarah MCM, Nur Suryana Mohd Sutarzi, berkata setiap saudara baru dipastikan mendapat bimbingan melalui sesi pengajian di Asrama Mualaf yang dibina MCM di WEC pada setiap hujung minggu.
“Mereka akan tinggal di asrama selama tiga hari dua malam dan akan dibimbing oleh tenaga pengajar tempatan yang memberi khidmat secara sukarela,” katanya.
Selepas diislamkan, setiap saudara baru diberi satu naskah al-Quran dan buku bimbingan fardua ain dalam bahasa Khemer yang diterbitkan oleh MCM khusus untuk saudara baru di Kemboja.
Semua saudara baru dan penduduk kampung yang keseluruhan berjumlah hampir 500 orang kemudian menikmati makan tengah hari di majlis kenduri rakyat yang ditaja oleh MCM
Seekor lembu ditumbangkan untuk tujuan itu dengan menu istimewa gulai daging bersama ubi yang dimasak secara gotong royong.