PEMIMPIN BARU SYRIA BUKAN PENGGANAS TAPI DISENANGI RAKYAT (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2025

Kerajaan baru Syria pada hari ini bukan kumpulan pengganas atau tali barut yang didalangi mana-mana pihak luar sebagaimana ditohmah segelintir pihak.

Sebaliknya, Ahmed al-Sharaa yang baru dilantik secara rasmi sebagai Presiden Syria untuk tempoh peralihan, adalah individu berakhlak tinggi dan menganut fahaman ahli sunnah wal jamaah.

Itu antara rumusan yang dibuat oleh delegasi misi bantuan kemanusiaan 'Malaysia Aid 2 Syria' selepas melaksanakan program kebajikan selama 11 hari di bumi Syria berakhir 31 Januari 2025.

Ketua misi, Tuan Haji Zulkifli Wahijan yang juga Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) berkata rumusan itu dibuat selepas berjumpa sendiri Menteri Dalam Negeri Syria, Ali Kidah dan pertemuan dengan banyak pihak termasuk tokoh agama dan juga rakyat biasa.

"Alhamdulillah misi ini mencapai matlamatnya. Kami berjaya menyampaikan bantuan kepada 5,000 penerima sebagaimana disasarkan dan mendengar sendiri maklum balas mereka mengenai kerajaan Ahmed al-Sharaa.

"Semua yang kami temui menyokong beliau dan amat bersyukur Presiden Bashar al-Assad berjaya dijatuhkan," katanya.

Menurutnya, lawatan ke penjara Sednaya yang digelar rakyat tempatan pusat penyembelihan manusia membolehkan 28 peserta misi melihat sendiri bukti kekejaman Bashar ke atas rakyatnya dan beliau selayaknya dijatuhkan.

Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada sokongan dan kerjasama padu diberikan rakan strategik yang berkolaborasi dengan MCM di dalam Malaysia Aid 2 Syria.

Mereka ialah Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Surau Al-Muhsinin KLCC, Klinik Zenmed, Richiamo, Pertubuhan Harmoni Prihatin Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pengisian misi ialah agihan sumbangan pek makanan, pakaian musim sejuk, kit kebersihan dan pemeriksaan kesihatan di Damsyik, Aleppo, Hama dan Homs membabitkan 5,000 penerima bantuan.



© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia