PEMBUNUHAN HANIYEH: MCM SERU UMAT ISLAM BANGKIT

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
6 August, 2024

Kuala Lumpur: Muslim Care Malaysia (MCM) menyeru supaya umat Islam bangkit menghentikan keganasan berterusan Israel dan terkini pembunuhan Ketua Sayap Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.

Presiden MCM Zulkifli Wahijan yang pernah empat kali menyertai misi bantuan ke Gaza berkata, dunia terutamanya negara Islam perlu serius mengheret pengganas Zionis supaya didakwa di mahkamah.

"Umat Islam diseru bangkit menghentikan keganasan Israel. Negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel patut putuskan serta-merta dan hentikan penghantaran minyak ke Israel.

"Selain itu, perlu ada gerakan sedunia untuk mengatakan veto sudah tidak relevan kerana veto seolah-olah melindungi keganasan dan penjenayah seperti rejim Zionis.

"Kita tidak boleh mengharapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kuasa veto. Setiap kali kes penindasan terhadap warga Palestin oleh Israel dibawa ke PBB, mereka akan veto. Jadi kita kena hentikan juga kuasa veto di PBB," katanya.

Beliau berkata, MCM menzahirkan perasaan teramat dukacita dengan kematian syahid Haniyeh yang dibunuh kejam.

"Kami mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham, mendoakan semoga kematiannya syahid di sisi Allah SWT.

"MCM yang secara konsisten bersama rakyat Palestin, amat mengecam tindakan Israel yang pengecut melakukan serangan secara jarak jauh," katanya.

Haniyeh terkorban dalam serangan Zionis awal pagi tadi ke atas kediamannya di Tehran, Iran.

Beliau berada di republik itu untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Masoud Pezeshkian diadakan semalam.

Semasa di sana, beliau bertemu dengan Pezeshkian serta pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.


Harian Metro: 31 Julai 2024

© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia