PELARIAN SYRIA DI MALAYSIA TAK SABAR NAK PULANG (VIDEO)

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
19 December, 2024

Shah Alam: Tempoh berdekad di bawah pentadbiran kuku besi di Syria menyebabkan lebih 14 juta daripada 28 juta rakyatnya menjadi pelarian di seluruh dunia mengikut rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tindakan keluar dari negara itu adalah sebagai ikhtiar menyelamatkan nyawa daripada menjadi mangsa kekejaman pemerintah.

Antaranya ialah Abdul Rahman AlMokri, 36, yang sudah lebih sedekad berstatus pelarian menumpang teduh di negara ini.

Abdul Rahman berkata, kejatuhan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad pada Ahad lalu memberikan sinar bagi keluarga dan sanak-saudaranya berkumpul semula di tanah air tercinta yang kini mereka terpisah di 25 negara berlainan.

"Saya sebenarnya datang ke Malaysia pada 2010 melanjutkan pengajian di Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), di Shah Alam, Selangor. Bermula 2011 konflik memburuk apabila rejim bertindak kejam terhadap kebangkitan menjadikan keadaan tidak selamat untuk pulang.

"Alhamdulillah ibu bapa dan tujuh adik-beradik saya semuanya selamat selepas keseluruhan keluarga keluar meninggalkan Syria pada 2013.

"Kami ke Malaysia sebelum kira-kira 10 tahun lalu, ada dalam kalangan keluarga yang dapat suaka politik antaranya di Jerman dan Belanda. Sanak-saudara saya sekarang berada di 25 negara asing," katanya ketika ditemubual Harian Metro sambil dibantu Exco Pendidikan Muslim Care Malaysia Society (MCM) Mohammad Nazmi Karim sebagai penterjemah.

Namun, katanya, dianggarkan 50 orang dalam kalangan saudara-mara dan rakan sekolahnya yang syahid, ada juga dipenjarakan dan ada juga yang tak tahu masih hidup atau mati.

"Semua orang Syria, dalam kalangan keluarga sanak-saudara pasti mempunyai kisah sama ada mati, cedera, ditangkap dan dipenjarakan atau pun hilang semasa tempoh peperangan," katanya.

Dia turut ditanya mengenai situasi di Syria termasuk sama ada wujud kebimbangan berlaku perang saudara disebabkan senjata masih banyak berada dalam kalangan penduduk.

"Kebangkitan rakyat berlaku sejak 2011 hingga jatuhnya rejim Bashar pada Ahad, 8 Disember 2024. Antara hikmah boleh dilihat adalah Allah SWT mengajar rakyat Syria supaya lebih matang, menggunakan kebijaksanaan menghargai kemenangan.

"Ini kerana selepas kebangkitan yang banyak negara Arab lain alami atau Arab Spring membabitkan seperti Tunisia, Libya, Mesir, Lubnan dan sebagainya, turut mencetuskan kekacauan serta ketidakstabilan.

"Allah SWT mengajar kami supaya tidak mengulangi kesilapan sama selepas kebangkitan rakyat terjadi. Tentera rejim Bashar apabila berundur mereka meninggalkan senjata api di jalan raya. Penduduk seronok dapat senapang atau raifal," katanya.

Namun, Abdul Rahman berkata, kerajaan yang baharu mengambil alih pentadbiran dengan segera membuat penyiaran di corong pembesar suara masjid-masjid untuk meminta sesiapa yang ada pegang senjata api supaya diserahkan di masjid.

"Kemudian berlonggoklah senjata yang diserahkan dengan rela oleh penduduk di setiap masjid. Ini jelas sebenarnya kami rakyat memang tidak mahu berperang," katanya.

Malah, katanya, apabila tentera pembebasan nak takluk mana-mana kawasan, maklumat itu disebarkan di WhatsApp penduduk sambil memberitahu juga kepada tentera Bashar menyerah diri secara baik.

"Sebab itulah tidak berlakunya pertumpahan darah dalam proses menggulingkan rejim.

"Mesej itu bermaksud sesiapa yang letak senjata dan angkat bendera putih akan selamat. Alhamdulillah penduduk mengalu-alukan kedatangan tentera pembebasan dan peralihan berlaku dengan lancar," katanya.

Dia amat mengharapkan kejayaan menghapuskan penindasan di Syria akan merebak di Palestin dan semua negara yang rakyatnya menjadi mangsa kekejaman.

Apa pun, katanya, mereka yang terbabit dengan jenayah peperangan dan ada bukti perlulah dihadapkan ke mahkamah untuk diadili termasuklah Bashar al-Assad.

Untuk rekod, pemerintahan Baath di Syria selama 61 tahun tumbang pada Ahad, apabila ibu negara Damsyik jatuh daripada kawalan rejim.

Parti Sosialis Arab Baath mula berkuasa di Syria pada 1963 melalui satu rampasan kuasa.


Berita ini disiarkan di Harian Metro pada 11 Disember 2024.






© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia