PELAJAR MADRASAH DARUL BARAKAH GIGIH USAHA PENDAPATAN SENDIRI
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
27 July, 2026
Madrasah Darul Barakah, di Mueang, Pattani, selatan Thailand tidak mahu terlalu meminta-minta dan hanya menagih simpati untuk menampung kos pengurusan mereka sebanyak puluhan ribu ringgit setiap bulan.
Sebab itulah institusi pendidikan untuk hampir 1,500 pelajar lelaki dan wanita itu termasuk 300 anak yatim dan fakir miskin itu menjalan pelbagai aktiviti perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan sendiri oleh pelajarnya.
Mudir madrasah, Ustaz Mahyudin Haji Ismail berkata, antara kegiatan ekonomi yang mereka usahakan ialah menjual roti dan kek, kuih muih, minuman sejuk, balm dan rumah inap atau homestay.
“Kebanyakan produk buatan kami dijual kepada pelajar madrasah dan ahli keluarga mereka. Biarpun keuntungannya tidak besar, sekurang-kurangnya kami mampu jana pendapatan sendiri kerana kami tidak mahu bergantung 100 peratus kepada derma orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan 500 kilogram beras dan 200 telekung untuk kegunaan pelajar madrasah itu daripada Muslim Care Malaysia yang menziarah madrasah itu pada 26 Julai 2026.
Presiden MCM, Haji Zulkifli Wahijan yang menyampaikan sumbangan itu berkata, ziarah itu adalah kali kedua pihaknya ke Madrasah Darul Barakah dalam tempoh tidak sampai sebulan.
“Ketika ziarah sebelum ini kita hanya bagi telekung untuk guru, jadi rasa macam tak puas hati. Sebab itulah kami datang lagi dan Alhamdulillah kali ini kami dapat bagi telakung kepada pelajar wanita yang juga anak yatim atau asnaf,” katanya.
Beliau turut memuji kegigihan Ustaz Mahyudin, bersama guru dan pelajar-pelajarnya yang menjalankan pelbagai usaha untuk menjana pendapatan sendiri.
“Madrasah atau institusi agama dan kebajikan seperti inilah yang MCM lebih suka bantu kerana mereka ada usaha sendiri, bukan hanya meminta sumbangan orang ramai,” katanya.
Ingat Sedekah Jariah Ingat Muslim Care Malaysia
Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan
Tepat Pada Waktunya Tepat Pada Sasaran