NASI DAGING UNTUK 2,000 PELARIAN SUDAN
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 February, 2026
Muslim Care Malaysia Society (MCM) sedang melaksanakan misi kemanusiaan ke Sudan yang diketuai oleh Haji Mohd Johari bin Ismail, Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia. Pada hari ini, MCM menyediakan makanan panas berupa nasi daging untuk 2,000 orang pelarian di Kem Quz As Salam, Kosti, Sudan, yang kini menempatkan seramai 17,465 orang pelarian.
Misi ini bermula pada 29 Januari 2026 dan dijadualkan berakhir pada 6 Februari 2026, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan MCM dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas teruk akibat konflik bersenjata.
Kemusnahan infrastruktur awam, kediaman dan kenderaan dapat dilihat dengan jelas di beberapa kawasan di Khartoum, Sudan. Banyak bangunan awam dipenuhi kesan tembakan, malah ada yang musnah sepenuhnya akibat konflik yang berlarutan.
Muslim Care Malaysia Society bersama Pertubuhan Kebajikan Ilmu & Amal Selangor (Geng Talaqqi) serta Yayasan Mawar Pulau Pinang mengambil tanggungjawab untuk turun membantu setelah dilaporkan bahawa kebuluran dan kelaparan berada pada tahap yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan pelarian. Laporan lapangan turut menunjukkan kanak-kanak antara golongan paling terkesan, malah ada yang dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran.
Walaupun berdepan pelbagai kepayahan perjalanan, pasukan misi tetap bertekad untuk menyampaikan bantuan. Melalui laluan yang panjang dan mencabar, akhirnya pasukan tiba di Kosti, Sudan, demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang amat memerlukan.
Sebelum konflik besar tercetus pada April 2023, White Nile State, termasuk Kosti, telah menempatkan kira-kira 287,000 orang pelarian, termasuk dari Blue Nile dan negara jiran. Jumlah ini meningkat secara mendadak apabila pertempuran antara SAF dan RSF memuncak, mengakibatkan ramai rakyat Sudan terbunuh serta kehilangan tempat tinggal.
Ramai penduduk terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana bimbang dibunuh oleh kumpulan bersenjata yang tidak mengenal belas kasihan. Inilah realiti getir yang sedang dihadapi rakyat Sudan, apabila pembunuhan berlaku di pelbagai kawasan sehingga memaksa orang awam mencari perlindungan demi kelangsungan hidup.
Diharapkan kehadiran pasukan misi bersama bantuan ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan dan meringankan beban kehidupan para pelarian. Sebanyak 1,156 pek barangan keperluan harian akan diagihkan, merangkumi tepung, gula, kopi serta beberapa barangan asas lain. Selain itu, makanan panas turut disediakan kepada pelarian terpilih.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh penyumbang yang telah bermurah hati. Doa kami dari bumi Sudan, semoga setiap sen yang disumbangkan diganjari Allah dengan sebaik-baik ganjaran, insyaAllah.