MUSLIM CARE MALAYSIA SANTUNI MANGSA BANJIR PERAK
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
5 November, 2025
Muslim Care Malaysia Society (MCM) terus komited dalam misi kemanusiaannya apabila tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir pada 25 Oktober 2025 baru-baru ini di beberapa kawasan di negeri Perak yang terjejas teruk sejak akhir Oktober lalu.
Bencana banjir yang melanda beberapa daerah termasuk Selinsing, Gunung Semanggol dan Kamunting telah menyebabkan banyak keluarga kehilangan harta benda serta terpaksa berpindah sementara. Bagi meringankan beban mereka, MCM melaksanakan Misi Bantuan Bencana Banjir Perak dengan menyalurkan bantuan makanan asas, barangan keperluan harian dan kit ibadah kepada lebih 300 penerima manfaat di tiga lokasi utama.
Penyerahan pertama dilakukan di Kampung Dew, Selinsing, diikuti Kampung Tepi Sungai, Hulu Sepetang, dan seterusnya di Kampung Batu 5, Kamunting, melibatkan seramai 100 penerima bantuan di setiap lokasi.
Misi kali ini diketuai oleh Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Tuan Haji Johari bin Ismail bersama Exco MCM, Tuan Haji Arman bin Mustafa, yang mengetuai pasukan sukarelawan turun padang menyantuni mangsa serta meninjau keadaan semasa di lapangan.
Menurut Tuan Haji Johari, pelaksanaan misi ini menzahirkan solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap mereka yang sedang diuji oleh bencana.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang bersama-sama menjayakan misi kali ini. Semoga usaha kecil ini menjadi penguat semangat buat mangsa dan membuka lebih banyak ruang kebaikan untuk kita terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Misi ini mencerminkan semangat “Bantuan Kemanusiaan Merentasi Sempadan”, yang menjadi teras perjuangan Muslim Care Malaysia sejak penubuhannya hadir di setiap bencana, bersama setiap insan yang memerlukan.