MISI ZIARAH ORANG ASLI KAMPUNG LEYEF, GRIK PERAK

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
20 June, 2026

Perjalanan menyusuri hutan belantara di pedalaman Grik, Perak, pada 5-6 Jun 2026 yang lalu menjadi satu lipatan sejarah yang amat bermakna bagi seluruh tim dan sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) serta Vitara Club Malaysia Utara (VCMU). Misi Ziarah Bantuan Kampung Orang Asli Leyef kali ini digerakkan dengan kekuatan sebelas buah kenderaan pacuan empat roda, yang mana lapan daripadanya merupakan jentera gagah daripada Vitara Club Malaysia Utara manakala tiga lagi merupakan jentera rasmi Muslim Care Malaysia.

Misi kemanusiaan yang serba mencabar ini membawa satu tekad yang besar, iaitu menziarahi dan menyantuni 50 buah keluarga masyarakat Orang Asli yang hidup terpencil di dalam zon pedalaman tersebut. Di dalam setiap jentera, sarat dimuatkan dengan pelbagai barangan sumbangan hasil ihsan rakyat Malaysia yang prihatin, merangkumi pek makanan ruji seperti beras, bihun, kicap, sardin, biskut, serta set kebersihan diri, selimut, alat tulis untuk kegunaan anak-anak kampung, pakaian, dan juga sumbangan istimewa berupa lima puluh kilogram daging korban.

Tirai kembara mula disingkap seawal jam 7.00 pagi pada 5 Jun apabila kesemua peserta konvoi berkumpul di perkarangan Masjid Jamek, Gerik. Setelah selesai menikmati sarapan pagi, mendengar taklimat ringkas mengenai laluan, dan melakukan pemeriksaan akhir ke atas setiap kenderaan, pasukan mula bergerak meninggalkan pekan. Tepat jam 9.30 pagi, konvoi pacuan empat roda ini tiba di Kampung Air Papan untuk bertemu secara rasmi dengan wakil penduduk Kampung Orang Asli Leyef yang sedia menunggu bagi memandu arah pasukan meredah belantara. Usai perbincangan pendek bersama wakil berkenaan, jentera-jentera mula mengganas membelah laluan offroad sejauh 20 kilometer yang terkenal dengan kegetiran treknya yang ekstrem.

Sepanjang perjalanan, pasukan kembara disajikan dengan keindahan flora dan fauna yang masih terpelihara, namun di sebalik keindahan itu tersembunyi ujian muka bumi yang amat mendebarkan. Laluan yang dilalui merupakan trek berbukit-bukau yang curam, sempit, dan sebenarnya hanya sering dilalui oleh motosikal penduduk tempatan. Keadaan trek yang usang memaksa pasukan untuk bergotong-royong membina semula jambatan balak yang telah reput serta membaiki struktur tanah yang rosak dan berlubang demi memastikan kesemua jentera dapat melepasinya dengan selamat. Semangat kerja berpasukan yang tinggi serta kecekapan para marshall yang mengemudi barisan hadapan menjadi benteng utama keselamatan jentera sepanjang merempuh belantara tebal tersebut.

Namun, alam mempunyai ceritanya yang tersendiri. Selepas enam jam bertarung dengan kudrat jentera meniti laluan berbukit, pasukan dikejutkan dengan khabar daripada wakil penduduk bahawa jarak yang ditempuh baru sahaja mencecah 10 kilometer, bermakna perjalanan belum pun sampai separuh daripada destinasi sebenar. Cabaran kemuncak tiba apabila konvoi terhenti di kaki sebuah bukit yang teramat tinggi dan curam. Beberapa buah kenderaan daripada Vitara Club Malaysia Utara telah cuba sedaya upaya untuk memanjat dan melepasi ujian bukit tersebut, namun semuanya menemui jalan buntu akibat faktor permukaan tanah yang terlalu berbahaya. Menyedari hari yang semakin gelap dan mengambil kira faktor keselamatan seluruh anggota misi, satu keputusan drastik diambil melalui perbincangan bersama. Pasukan memutuskan untuk menamatkan perjalanan ke perkampungan fizikal mereka lalu mendirikan khemah di kawasan anak sungai berdekatan bukit tersebut. Wakil Orang Asli yang bersama konvoi kemudiannya diminta untuk menyampaikan pesanan agar penduduk kampung turun ke tapak perkhemahan pada keesokan paginya bagi menjayakan program ziarah yang telah dirancang.

Suasana keesokan paginya bertukar menjadi cukup meriah apabila penduduk Kampung Leyef turun beramai-ramai dengan menaiki motorsikal masing-masing menuju ke tapak perkhemahan pasukan. Di celah-celah deruan enjin motosikal, terpancar senyuman ikhlas daripada wajah-wajah yang merindui perhatian luar. Proses pengagihan barangan bantuan berjalan dengan penuh teratur kepada setiap wakil keluarga, diiringi dengan penganjuran kenduri rakyat kecil-kecilan. Sukarelawan dan penduduk tempatan saling bahu-membahu memasak hidangan bergotong-royong, sekaligus memecahkan dinding pemisah dan mengeratkan lagi tali silaturahim serta ukhwah antara masyarakat bandar dan pedalaman.

Penduduk kampung menzahirkan rasa syukur dan kegembiraan yang tidak terhingga atas kesudian pihak penganjur datang menjenguk mereka di ceruk pedalaman yang jarang sekali dikunjungi orang luar. Mereka meluahkan harapan agar ikatan murni ini tidak terputus di sini sahaja dan dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Pengalaman terpaksa akur kepada kekangan alam ini tidak sedikit pun mematahkan semangat para pejuang kemanusiaan, malah pasukan kembara kini menanam azam yang lebih membara untuk kembali lagi ke Kampung Leyef pada masa hadapan demi menjejakkan kaki ke perkampungan sebenar mereka bagi mendalami budaya serta corak kehidupan harian mereka dengan lebih dekat. Sebelum bergerak pulang pada jam 12.30 tengahari, sesi bergambar kenang-kenangan diadakan sebagai tanda meterainya sebuah persaudaraan. Ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan oleh penduduk Kampung Leyef kepada Muslim Care Malaysia, Vitara Club Malaysia Utara, dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong misi ini, dengan sejuta harapan agar langkah perjuangan ini akan terus diberkati dan berkekalan.

Semoga misi seperti ini menjadi asbab kasih sayang, persaudaraan dan keberkatan buat semua.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia