MISI KASIH ASNAF SARAWAK: MENYUSURI PEDALAMAN, SANTUNI 300 KELUARGA

Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
13 November, 2026

Dari Kuala Lumpur ke Sibu, perjalanan diteruskan melalui jalan darat selama lebih tiga jam untuk menyantuni saudara kita di bumi Kenyalang. Jarak yang ditempuhi membawa satu tujuan: menyampaikan bantuan dan berkongsi keprihatinan bersama keluarga asnaf yang memerlukan.

Program Kasih Asnaf Sarawak pada 6 hingga 9 November 2026 telah dilaksanakan oleh Muslim Care Malaysia (MCM), diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Zuriati Ya'akob dan Suryana Sutarzi.

Menerusi program ini, sebanyak 300 keluarga asnaf di sekitar Pusa, Kampung Batang Maro, Beladin dan Tambak menerima set makanan asas bagi membantu meringankan keperluan harian mereka. Setiap pek yang disampaikan membawa bersama tanda ingatan dan kasih daripada para penyumbang, merentasi jarak dan sempadan negeri.

Kesejahteraan komuniti turut diberi perhatian melalui saringan kesihatan dan pergigian percuma yang dikendalikan oleh sukarelawan profesional MCM, Prof. Madya Dr. Aspalilah bersama Cik Nuhafizah. Khidmat ini memberi peluang kepada penduduk setempat mendapatkan pemeriksaan asas serta meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan misi ini. Semoga setiap sumbangan dan tenaga yang dicurahkan menjadi amal kebajikan yang berpanjangan serta membawa manfaat kepada saudara asnaf kita di Sarawak.

Terima kasih kerana bersama MCM menyampaikan bantuan dan menyambung kasih.


© Since 2006 Muslim Care Malaysia. Hak Cipta Terpelihara
Dibangunkan oleh Aeronerve
Muslim Care Malaysia