MERINTIS LEMBARAN BARU MADRASAH TERAPUNG
Disediakan Oleh : Muslim Care Malaysia
2 December, 2024
Lembaran baru operasi Madrasah Terapung Muslim Care Malaysia (MCM) di perairan Pulau Mabul, Sabah mula dirintis dengan sesi mesyuarat khas bersama Penolong Pegawai (Kanan) Daerah Semporna, Tuan Abdul Azis Abdul Bool.
Mesyuarat berlangsung pada 28 November 2024.di Pejabat Daerah Semporna dengan delegasi MCM seramai empat orang diketuai Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar.
Turut hadir dua Pensyarah Kanan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, Ustaz Wan Azmi Wan Omar dan Dr Halimatus Saadiah Mat Saad yang memainkan peranan penting dalam merangka silibus pembelajaran Madrasah Terapung MCM.
Antara agenda perbincangan ialah mengatur gerak kerja untuk pembinaan sebuah Madrasah Terapung yang beroperasi secara statik di perairan Pulau Mabul.
Ia sebagai lanjutan kepada Madrasah Terapung MCM yang beroperasi di atas bot sejak lebih dua tahun lalu.
Tuan Abdul Azis turut teruja dengan idea dan lembaran baru Madrasah Terapung MCM itu serta memberi komitmen untuk menghulurkan bantuan bersesuaian bidang kuasa Pejabat Daerah Semporna.
Ahmad Safuan pula berkata, biarpun menyedari usaha membina Madrasah Terapung statik itu amat mencabar kerana membabitkan kos yang tinggi dan urusan birokrasi yang rumit, MCM akan tetap berikhtiar untuk
merealisasikannya.
“Masa kita mula-mula nak buat Madrasah Terapung di atas bot dulu, banyak pihak yang kurang yakin malah ada dalam kalangan MCM sendiri agak ragu-ragu.
“Namun, kita teruskan kerana percaya Allah akan membantu setiap usaha yang ikhlas demi Islam dengan diiringi kerja buat yang bersungguh-sungguh. Alhamdulillah, Madrasah Terapung masih beroperasi sehingga kini,” katanya.